Selasa, 24 November 2020

Agama mana benarkan arak? Khairuddin dituntut beri penjelasan

Athirah Huda Zalhe

 

Setiap arahan, larangan Allah SWT adalah terbaik untuk manusia

BANGI– Penurunan al-Quran dan perutusan Rasul bertujuan untuk membimbing manusia ke arah kebenaran.

Justeru, bagaimana boleh dikatakan bahawa Allah SWT memberikan hak kepada agama lain meminum arak, sedangkan al-Quran dan Rasul diutuskan supaya umat Islam memimpin manusia dengan keindahan cara hidup Islam.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, apa sahaja arahan dan larangan Allah SWT adalah kebaikan kepada semua manusia, termasuk orang bukan Islam.

Beliau berkata, pengharaman arak bagi orang Islam adalah berasaskan wahyu dan rasional akal bahawa ianya memudaratkan.

“Namun, bagi orang bukan Islam, pengharaman arak itu boleh difahami dan diterima berasaskan kepada pertimbangan rasional.

“Jadi, menjadi tugas umat Islam yang sepatutnya memimpin umat manusia ke arah pemikiran yang rasional,” katanya dalam siaran langsung di Facebook.

Beliau berkata, sekiranya orang bukan muslim tidak boleh menerima al-Quran dan wahyu, maka isu arak boleh dibincangkan dari sudut akal rasional mengenai kebaikan serta keburukan minuman keras itu.

“Itulah dinamakan sebagai hikmah yang menjadi pendekatan BERJASA. Kita ambil pendekatan hikmah sebagai neraca dalam menimbang apa sahaja isu berkait umat manusia.

“Bukannya mengambil pendekatan populis dengan berkata ia adalah kemahuan dan kehendak sebahagian pengundi kita yang bukan beragama Islam. Maka, tak boleh usik hak mereka,” katanya.

Ustaz Mohd Hazizi berkata demikian sebagai mengulas petikan temu bual eksklusif bersama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali di TV Pertiwi, semalam.

Dalam rakaman berdurasi lebih seminit itu, Dr Khairuddin yang ditanya mengenai pengakhiran bagi industri arak berkata, sekiranya minuman keras memudaratkan, ia patut diharamkan untuk dijual secara umum. 

Namun, minum arak adalah hak yang diberikan oleh agama masing-masing, dan ia menjadi hak kepada orang bukan Islam.

“Kerana itu hak yang diberikan oleh Allah SWT kepada agama lain dibenarkan.

“Tetapi, kalau judi, tiada agama yang membenarkan judi. Itu perlu bezakan antara judi dan arak. Arak sebahagian agama membenarkannya, kita akan beri hak kepada mereka,” katanya.

Ditanya, adakah PAS akan mendesak kepada pengharaman arak, menurut Dr Khairudin, hak itu masih diberikan kepada orang bukan Islam kerana ia dibenarkan syariat.

“Cuma, bagaimana penjualan itu mesti kita bincang. Kalau dia dijual secara berleluasa hingga menyebabkan memandu dalam keadaan mabuk, itu memudaratkan rakyat.

“Kita tengok bukan pada isu arak, tetapi isu memudaratkan itu menjadi pertimbangan kita. Maka, selagi ia tak mudaratkan orang bukan Islam, teruskan kerana agama mereka membenarkan,” kata Dr Khairuddin.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Hazizi menuntut penjelasan Dr Khairuddin berkenaan agama lain yang membenarkan arak seperti dimaksudkannya itu.

“Setahu saya tiada benarkan arak. Jadi mohon definisi agama itu jelas, kerana orang boleh cakap LGBT itu satu agama.

“Atau adakah definisi agama itu termasuk agama tradisi nenek moyang terdahulu atau agama samawi?,” soalnya.

Tiada ulasan: