Selasa, 24 November 2020

Tiada daging babi dalam mi kari restoran terkenal

ainulillia

 

Hasil analisis makmal dapati hanya ada unsur DNA ayam

BANGI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan sampel daging yang diambil dari restoran terkenal – yang  didakwa menjual mi kari mengandungi daging babi – sebenarnya hanya mengandungi unsur asid deoksiribonukleik (DNA) ayam. 

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, hasil analisis dan ujian makmal dijalankan Jabatan Kimia Malaysia terhadap sampel daging itu mendapati tiada unsur DNA babi.

Katanya, Ibu Pejabat KPDNHEP Putrajaya dan beberapa cawangan KPDNHEP Selangor telah menghantar beberapa sampel daging yang diambil dari restoran terbabit ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.

“Hasil daripada analisis dan ujian makmal Jabatan Kimia Malaysia yang dijalankan ke atas sampel daging diterima, mendapati hanya unsur DNA ayam dikesan dalam daging itu serta tiada unsur DNA babi,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, berdasarkan keputusan analisis terbabit, pihak restoran yang disiasat tidak melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 atau Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa, KPDNHEP akan meneruskan pemantauan secara proaktif dan konsisten berhubung penguatkuasaan halal bagi memastikan pengusaha makanan dan minuman sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan.

“Pada masa sama itu, mana-mana dinasihat tidak sewenang-wenang menyalahgunakan kelulusan diberikan dengan maksud berselindung dan mengaburi pengguna melalui kelulusan terbabit.

“KPDNHEP juga ingin meminta pengguna agar sentiasa bertanggungjawab dalam tindakan menyebarkan berita atau isu tidak sahih melalui laman media sosial yang boleh mendatangkan kesan negatif dan tidak adil kepada pihak yang berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, KPDNHEP Selangor menyerbu beberapa cawangan restoran terkenal di Subang Jaya, Sepang, Kajang dan Gombak.

Tindakan itu susulan tular rakaman video di media sosial yang mendakwa restoran di cawangan Subang Jaya menyajikan mi kari disyaki mengandungi babi.

Tiada ulasan: