Selasa, 24 November 2020

Nasib jadi anak orang miskin

  Borhan Abu Samah

 
Saya berasa terganggu dengan data 1.7 juta pelajar yang tidak mempunyai sama telefon pintar, tablet atau komputer.
 
Peralatan itu penting wajib apabila pengajian sekarang akan berlangsung di dalam talian hampir sepenuhnya mulai Januari depan, bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.
 
Entah daripada mana data diperolehi, kerajaan hanya memberi bantuan kepada 150,000 melalui belanjawan dibentangkan disalurkan melalui Dana Cerdik.
 
Dana itu dikendalikan oleh Yayasan Hasanah dan dilaksanakan di 500 buah sekolah sebagai projek prerintis, di mana pelajar terbabit akan diberi komputer riba.
 
Sedang kajian yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan sendiri mendapati 37 peratus daripada lebih 4.7 juta atau 1.7 orang pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara tidak mempunyai peranti bagi sesi pembelajaran dalam talian.
 
Teringat zaman saya belajar dahulu sekitar  tahun 90-an. Saya belajar di dalam aliran sains, tetapi tidak mampu membeli buku rujukan serta tidak mampu untuk membayar kelas tambahan.
 
Saya bergantung sepenuhnya kepada buku teks yang sudah ketinggalan disediakan oleh pihak sekolah.
Situasi sedemikian kembali ketika negara kita sudah jauh maju. Jurang pendidikan akan kembali melebar dan sekali gus mencipta lebih banyak golongan B40.
 
Keadaan semasa sahaja telah menyebabkan golongan M40 jatuh kepada B40 kerana sekitar 2 juta orang kehilangan pekerjaan.
 
Dalam situasi kini ramai ibu bapa tidak mampu untuk menyediakan keperluan harian apatah lagi untuk membeli komputer untuk anak-anak, ditambah lagi untuk menyediakan data bagi membolehkan mereka belajar secara talian.
 
Kerajaan seharusnya mempertimbangkan perkara ini dengan lebih khusus serta menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk pendidikan negara.
 
Dalam apa juga situasinya pendidikan negara tidak boleh diabaikan kerana ia akan mewujudkan golongan yang ketinggalan dari segi taraf pendidikan serta kehidupan.
 
Siapa lagi jika bukan kerajaan yang membantu rakyat, khususnya dalam situasi sulit dan getir kini. – SuaraMerdeka

Tiada ulasan: