KUALA LUMPUR: 781 tapak pembinaan di negara ini didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Eddin Syazlee Shith berkata, jumlah itu termasuk pemeriksaan di tapak pembinaan di Semenanjung dan Sarawak.
“Sehingga 18 Okt, Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melaksanakan pemeriksaan pematuhan SOP tapak bina di 7,704 tapak bina seluruh negara.
“Sebanyak 6,923 tapak patuh SOP Covid-19 dan dibenarkan beroperasi manakala sebanyak 781 tapak pembinaan tidak dibenarkan beroperasi kerana telah gagal mematuhi SOP.
“Bagi Sarawak, sebanyak 739 tapak dibenarkan beroperasi, 4 tapak langgar SOP dan tidak dibenarkan beroperasi,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang minta dinyatakan jumlah terkini tapak pembinaan yang dibenarkan beroperasi kerana patuh SOP Covid-19 di seluruh negara dan berapa banyak tidak patuh SOP serta tidak dibenarkan beroperasi.
Eddin berkata, kegagalan kepatuhan syarikat pembinaan terhadap SOP Covid-19 dikenal pasti disebabkan faktor gagal memahami kehendak SOP ditetapkan.
“Ini menyebabkan kekeliruan namun CIDB mengambil pendekatan memberikan perincian butiran supaya SOP difahami. Bagi yang didapati sengaja, tindakan tegas diambil termasuk memberi amaran dan notis perberhentian,”katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan