Rabu, 11 November 2020

Lebih ramai pelajar Melayu, India sertai sekolah vernakular Cina, kata menteri

Kerajaan berkata, kemasukan pelajar Melayu di sekolah vernakular Cina meningkat 
daripada 9.15% pada 2010 kepada 15.33% tahun ini. (Gambar Fail)

PETALING JAYA: Lebih ramai pelajar Melayu dan India memasuki sekolah vernakular Cina tahun ini berbanding 2010, kata Menteri Pendidikan, Radzi Jidin.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, Radzi berkata, data kemasukan pelajar Melayu menunjukkan peningkatan daripada 9.15% pada 2010 kepada 15.33% tahun ini.

Katanya, pelajar India dan kaum lain turut meningkat sedikit daripada 1.67% kepada 2.75% dan 1.02% kepada 1.67% dalam tempoh sama.

“Namun, peratus penyertaan kaum Cina di SJKC menunjukkan penurunan daripada 88.16% pada 2010 kepada 80.25% pada 2020,” katanya menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa).

Di sekolah swasta pula, Radzi berkata, terdapat 65.88% pelajar Cina, diikuti pelajar Melayu dan Bumiputera di Sabah serta Sarawak sebanyak 26.96%, pelajar India (4%) dan kaum lain (3.17%).

“Penyertaan murid Melayu (di sekolah swasta) menunjukkan peningkatan sebanyak 0.65%, manakala kaum Cina menunjukkan penurunan 0.44% dan kaum India menurun sebanyak 0.21% berbanding 2019.”

Sementara itu, kemasukan pelajar Cina dan India di sekolah kebangsaan menurun daripada 1.17% kepada 0.73% dan 3.15% kepada 2.63% dalam 10 tahun ini, dengan kemasukan pelajar Melayu antara 93% dan 94%.

Katanya, kemasukan kaum lain di sekolah kebangsaan meningkat sedikit daripada 2% kepada 2.84%.

Bagi sekolah vernakular Tamil, majoriti 99% pelajar terdiri daripada kaum India dan kaum lain kurang 1%.

Tiada ulasan: