KUALA LUMPUR: Peningkatan bantuan khas untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam Belanjawan 2021, memberi kesan psikologi besar memandangkan 70 hingga 80 peratus OKU berada dalam kategori kumpulan B40.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas bersama Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB), Silatul Rahim Dahman, berkata peningkatan bantuan walaupun RM50 amat membantu dalam menampung perbelanjaan semasa golongan OKU.
"Belanjawan 2021 memberikan manfaat jelas dan tidak mengetepikan OKU.
"Contohnya, Elaun Pekerja OKU naik RM50 daripada RM400 kepada RM450. Ini menampakkan keprihatinan, perhatian dan pengiktirafan kepada golongan OKU," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.
Bagi OKU penglihatan kategori B2, Hermi Abd Rohim, 42, yang bekerja sebagai tukang urut, bantuan kerajaan itu amat dinantikan berikutan perniagaan merosot teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu.
"Sekarang teruk betul. Sehari cuma seorang pelanggan, bulan lalu saya cuma dapat 18 pelanggan dengan gaji RM400.
"Dengan Belanjawan 2021 ini, saya dapat bantuan RM1,000 daripada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Elaun Pekerja OKU, legalah juga dapat lepas makan minum dan tambang," katanya.
Di Jitra, kenaikan jumlah BPR daripada RM350 kepada RM500 bagi pesakit kronik terlantar, mengukir senyuman pada wajah pesakit kanser dalam usaha melawan ujian dihadapi.
Pengerusi Cancer Survivor Malaysia (CSM), Zuraini Kamal, berkata pesakit kanser memerlukan belanja tinggi berulang-alik mendapatkan rawatan, selain kos urusan sampingan bulanan.
"Ramai antara mereka dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), tapi tidak mencukupi.
"Jumlah baharu ini membolehkan mereka menampung perbelanjaan harian termasuk membeli susu formula, lampin pakai buang dan kelengkapan lain," katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, pesakit kanser otot tahap empat, Mohd Nizam Ismail, 51, menghargai keprihatinan kerajaan yang menyediakan penambahan kewangan untuk pesakit kronik sepertinya.
Beliau disahkan menghidap kanser pada 2018 apabila mengesan benjol di kaki sebelum merebak hingga menyebabkan kaki kirinya dipotong.
"Saya terpaksa berhenti kerja dan kini bergantung kepada isteri yang menjadi kerani di syarikat keselamatan.
"Dengan empat anak yang masih bersekolah, memang besar tanggungan kami tetapi BPR ini melegakan urusan kami," katanya yang menetap di Taman Kenanga, di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan