Jumaat, 28 Ogos 2020

Dewan Rakyat lulus 10 RUU dalam sidang berakhir semalam

 
Persidangan pertama di bawah kerajaan PN pimpinan Perdana 
Menteri Muhyiddin Yassin ini secara tidak langsung 
memperlihatkan kekuatan sokongan kepada kerajaan apabila 
2 usul melalui undi belah bahagian memihak kepada gabungan itu.

KUALA LUMPUR: Hukuman lebih berat bagi pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan kebenaran prosiding mahkamah diadakan secara dalam talian antara 2 perkara signifikan yang mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 persidangan Dewan Rakyat yang menutup tirai semalam.

Masing-masing diluluskan melalui Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan melalui 3 rang undang-undang berkaitan mahkamah, iaitu Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020; Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020.

Selain 4 rang undang-undang itu, persidangan selama 25 hari itu turut menyaksikan 6 lagi rang undang-undang diluluskan, termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 dan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan.

Turut diluluskan ialah 3 rang undang-undang berkaitan pandemik Covid-19, iaitu Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020; Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 dan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2020.

Persidangan pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ini juga secara tidak langsung memperlihatkan kekuatan sokongan terhadap blok PN apabila 2 usul yang dibuat menerusi undi belah bahagian memihak kepada mereka.

Undi belah bahagian itu ialah untuk Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 dan usul Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum ini, Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya yang dibawa oleh Muhyiddin.

Selain kelulusan rang undang-undang, persidangan kali ini turut menyaksikan 2 rang undang-undang yang sepatutnya dibentang untuk bacaan kali ke-2 ditarik balik.

Rang undang-undang itu ialah Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berkaitan Perjawatan Perdana Menteri dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019.

Selain itu, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020, yang dijadual dibentang untuk bacaan kali ke-2 pada persidangan kali ini, ditangguh ke persidangan akan datang.

Turut dibawa ke persidangan akan datang ialah Rang Undang-undang Racun (Pindaan) 2019 dan Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020.

Seiring pertukaran kerajaan, persidangan kali ini turut menyaksikan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dipilih menggantikan Mohamad Ariff sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10.

Persidangan kali ini turut melakar sejarah apabila buat pertama kali melantik seorang wanita sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, iaitu ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said.

Persidangan dewan kali ini ditutup dengan pemilihan ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menggantikan ahli Parlimen Kota Tinggi Noraini Ahmad.

Berlangsung ketika negara masih dalam perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), prosedur operasi standard (SOP) tertentu turut diaktifkan bagi mengekang wabak Covid-19, termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan 1 meter, selain penghadang cermin diletakkan antara tempat duduk ahli Parlimen.

Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 2 Nov.

 

Tiada ulasan: