TERPIKAT dengan gaya hidup mewah oleh rakan sekampungnya, seorang lelaki akhirnya berputih mata selepas menanggung kerugian RM226,000 dalam skim pelaburan tidak wujud sejak lima tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 38 tahun itu mendakwa tertarik dengan tawaran skim itu selepas melihat gaya hidup mewah yang ditunjukkan suspek wanita tersebut, yang dikatakan daripada keuntungan hasil pelaburan.
Menurutnya, mangsa dijanjikan keuntungan sekitar tiga hingga empat peratus dalam tempoh setahun selain memperoleh semula modal pelaburanya dalam tempoh masa yang singkat.
Mangsa bersetuju melabur RM255,000 melalui tiga fasa pelaburan sejak 2015, katanya.
"Bagaimanapun, mangsa mendakwa hanya sempat memperoleh keuntungan sebanyak RM29,000 sebelum suspek gagal menjelaskan bayaran yang sepatutnya diperoleh sehingga mangsa membuat tuntutan sivil untuk mendapatkan kembali wangnya.
"Mangsa mendakwa suspek bagaimanapun tidak membuat bayaran seperti yang telah diarahkan oleh mahkamah menyebabkan dia membuat laporan polis supaya tindakan dikenakan terhadap wanita tersebut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan