Khamis, 27 Ogos 2020

Bekas Adun Bangi, Amran Kasimin meninggal dunia

Amran Kasimin merupakan Adun Bangi dari 2004 hingga 2008 
dan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia. (Gambar 
Facebook)

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi Amran Kasimin meninggal dunia petang semalam pada usia 75 tahun.

Menantu beliau, Dr Lenny Suryani Safri yang mengesahkan perkara itu berkata, beliau menghembuskan nafas terakhir pada 5.56 petang di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, yang juga dikenali sebagai Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di sini.

“Abah, terima kasih atas 19 tahun yang indah. Satu penghormatan besar buat saya menjadi anak perempuan …terima kasih di atas kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Rasa setengah nyawa Lenny hilang bah (abah),” menurutnya di laman sosial Facebook.

Beliau berkata, jenazah dibawa ke kediaman di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang malam tadi dan akan dikebumikan pagi ini.

Menurutnya, solat jenazah akan diadakan di Surau Al Istiqomah di kampung itu.

Amran Kasimin, Adun Bangi dari 2004 hingga 2008, juga merupakan seorang pengamal perubatan Islam dan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta bekas ahli Lembaga Pengarah UKM.

Tiada ulasan: