Khamis, 27 Ogos 2020

MP PH sanggah laporan projek rundingan terus

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Beberapa anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) tampil menyanggah sesetengah laporan perincian 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion yang dikeluarkan Kementerian Kewangan semalam.

Anggota Parlimen Bangi Ong Kian Ming dalam ciapan di Twitter tampil mempertikaikan empat projek rundingan terus bernilai RM7.6 juta melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang dilapor dibuat oleh kerajaan PH.

Sebaliknya tegas bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu, projek terbabit dibuat sebelum pentadbiran PH lagi.

Jelasnya, projek yang didakwa diberikan Miti itu dilaksanakan antara Januari dan Mac 2018 iaitu sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Empat projek itu sahaja bernilai RM7.6 juta dan semuanya dilaksanakan sebelum PRU14 lagi walaupun ia disenaraikan dalam projek rundingan terus Miti semasa PH memerintah.

"Saya agak terkejut apabila senarai Miti disebut sebab saya tak pernah diundang ke mana-mana acara yang kononnya dianjurkan pada zaman PH. Sekarang saya tahu kisah sebenar," katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengeluarkan mengeluarkan laporan 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang didakwa diberikan melalui rundingan terus ketika pentadbiran PH.

Kian Ming berkata, hampir RM6 juta dibelanjakan untuk acara Himpunan Usahawan Bumiputera (HUB), tetapi acara itu berlangsung pada bulan Mac 2018 sebelum PRU14.

"RM999,000 dibelanjakan untuk program Jom Niaga Wilayah Utara yang disenarai dalam kontrak rundingan terus Miti, tetapi program ini berlangsung pada Jan 2018, sebelum PRU14.

"RM632,000 dibelanjakan untuk program Satu Daerah Satu Industri dalam senarai kontrak rundingan terus Miti, tetapi program ini juga berlangsung pada Mac 2018, sebelum PRU14," jelasnya.

Justeru dia mendesak Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya menjelaskan perkara itu dan mengkaji semula senarai projek yang dikeluarkan melalui laporan tersebut.

Tarik perhatian pada Muhyiddin

Sementara itu ahli Parlimen Subang, Wong Chen juga mengucapkan tahniah kepada Tengku Zafrul kerana mengeluarkan laporan 101 projek rundingan terus ketika PH memerintah itu.

"Setelah semua keributan, dan setelah membaca senarai itu, nampaknya kebanyakan projek ini dapat dijelaskan oleh bekas menteri PH yang terlibat.

“Namun, menteri kewangan (Tengku Zafrul) ketika mengisytiharkan senarai itu secara tidak langsung menarik perhatian ramai terhadap bosnya sendiri (perdana Menteri) Muhyiddin Yassin," katanya.

Wong Chen 

Dia berkata, mengikut senarai nombor 15, dalam laporan itu menyatakan terdapat kontrak rundingan terus bernilai RM270 juta yang diberikan kepada Datasonic Technologies ketika Muhyiddin menjadi menteri dalam negeri.

"Datasonic mempunyai sejarah yang menarik dan ketika ini terlibat dalam kes dakwaan rasuah melibatkan (bekas timbalan perdana menteri) Zahid Hamidi yang sedang berlangsung.

“Pada Februari 2020, wakil pengarah Kumpulan Datasonic telah memberi keterangan bahawa Datasonic membayar Zahid sebanyak RM6 juta sebagai sumbangan politik," jelasnya.

‘Tak masuk akal senaraikan projek kereta api’

Dalam perkembangan sama Anggota Parlimen Damansara, Tony Pua juga menyanggah laporan tersebut khususnya berkait projek menaiktaraf kemudahan infrastruktur landasan berkembar elektrik di Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).

Katanya, laporan itu jelas tidak adil kerana kontrak projek KVDT2 diberikan ketika BN memerintah.

"Itu tidak masuk akal kerana kontrak untuk KVDT2 diberikan oleh BN sebelum PH mengambil alih.

"Bukan hanya itu, BN memberikan kontrak itu dengan harga RM5.265 bilion tetapi kami mahu batalkan kontrak itu kerana kami percaya bahawa ia terlalu tinggi, seperti kontrak BN lain," katanya.

Tony Pua 

Pua berkata, selepas rundingan demi rundingan, kontraktor, DhayaMaju usaha sama dengan LTAT bersetuju untuk menurunkan harga sebanyak 15 peratus kepada RM4.475 bilion dan ia disahkan oleh kabinet.

"Helo! Harapan menyelamatkan pembayar cukai RM790 juta!" katanya.

"Selama berhari-hari kami dibiarkan tergaru-garu, bagaimana kami kononnya memberikan kontrak rundingan langsung berjumlah RM6.6 bilion (walaupun hanya kurang dari 1.4 peratus dari jumlah perolehan)," katanya.

Tiada ulasan: