Ahad, 30 Ogos 2020

1 kematian, 2 kluster baru Covid-19 dikesan

PETALING JAYA: Dua kluster baru dikesan, manakala satu kematian dan 17 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini.

Dua kluster baru itu ialah kluster MV Glen di Selangor dan kluster Telaga di Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian ke-126 itu membabitkan warganegara berusia 75 tahun di Kedah.

Katanya, lelaki yang mempunyai latar belakang penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD), kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung itu, tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

“Beliau mula mengalami gejala batuk dan sesak nafas pada 7 Ogos dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah bagi jangkitan paru-paru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu dibenarkan keluar hospital pada 18 Ogos lalu, tetapi kembali mengalami gejala batuk dan sesak nafas pada 21 Ogos dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah pada 24 Ogos.

Katanya, ujian saringan menunjukkan beliau positif Covid-19 dan kesihatannya semakin merosot sebelum disahkan meninggal dunia pada 5.10 petang semalam.

Hisham berkata, 17 kes baru membabitkan 2 penularan tempatan dan 15 kes import.

Katanya, 15 kes import itu membabitkan 11 warganegara dan 4 warga asing yang pulang dari India (12 kes di Kuala Lumpur), Arab Saudi (2 kes di Kuala Lumpur) dan Jepun (1 kes di Sarawak).

Beliau berkata, kes jangkitan tempatan pula membabitkan 2 warganegara, masing-masing seorang di Selangor yang merupakan kontak rapat kes positif ke-9,286 dan seorang lagi di Kedah yang merupakan kontak rapat kes positif ke-9,284.

Hisham berkata, 10 pesakit sembuh hari ini dan 160 pesakit masih dirawat di seluruh negara dengan 5 daripada 7 yang dirawat di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Kluster baru

Hisham berkata, kluster MV Glen membabitkan sebuah kapal di Pelabuhan Klang, manakala kluster Telaga di Kedah dikenal pasti di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Katanya, kes pertama kluster MV Glen ialah kes import membabitkan seorang kru warga asing kapal itu yang dilaporkan positif Covid-19 pada 25 Ogos lalu, manakala kes ke-2 ialah kes tempatan membabitkan seorang warganegara yang juga ejen dilantik syarikat perkapalan.

Selain 2 individu yang positif itu, 6 lagi yang disaring sehingga hari ini didapati negatif.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih dijalankan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan telah dijalankan di kapal tersebut. Punca jangkitan masih dalam siasatan.”

Beliau berkata, kluster Telaga terdiri daripada 2 petugas kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah yang tidak terbabit dalam jagaan pesakit Covid-19.

Katanya, 374 orang termasuk ahli keluarga, kakitangan hospital dan individu lain disaring setakat ini, dengan hanya 2 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata, punca jangkitan masih dalam siasatan, tetapi ia disyaki mungkin berpunca daripada kalangan komuniti.

“Perkhidmatan Hospital Sultanah Bahiyah tidak terjejas dan tetap berjalan seperti biasa.

“Sebagai langkah kawalan, lebih banyak saringan tertumpu di hospital akan dijalankan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti pembersihan dan proses nyah kuman juga telah dijalankan di premis berkaitan.”

Tiada ulasan: