Sabtu, 29 Ogos 2020

PKPP dilanjut sehingga 31 Disember

Norlaile Abd Rahman
MGF05062020_PERUTUSAN-KHAS-PELAN-PEMULIHAN-EKONOMI_01-681x454
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR- Kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

PKPP yang bermula sejak 10 Jun lalu sepatutnya tamat pada Isnin ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun PKPP dilanjutkan namun beliau yakin aktiviti harian rakyat tidak akan terjejas dan boleh dilaksanakan seperti biasa dengan pembudayaan norma baharu dan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

Ini termasuk membiasakan diri dengan pemakaian pelitup muka, membasuh tangan, sentiasa menjaga kebersihan diri dan mengelakkan berada di tempat sesak.

“Ini bermakna kerajaan masih memerlukan mekanisme undang-undang untuk meneruskan usaha-usaha mencegah dan mengawal penularan wabak COVID 19.

“Justeru, demi kepentingan saudara-saudari sekalian, kerajaan telah memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen dan media sosial.

Menurut Perdana Menteri, dengan pelanjutan tempoh PKPP, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil.

Langkah itu, katanya, bertujuan memastikan semua pihak mematuhi Prosedur Operasi Standard dan protokol kesihatan yang ditetapkan.

Tambahnya, pada masa ini hampir semua sektor telah pun dibenarkan beroperasi kecuali sebilangan kecil yang masih tidak dibenarkan seperti kelab malam dan pusat hiburan.

Menurut Muhyiddin, ini kerana tempat-tempat berkenaan sukar untuk dilaksanakan norma baharu seperti penjarakan fizikal.

Selain itu, kemasukan pelancong asing juga masih tidak dibenarkan untuk mengelakkan penularan kes-kes import ke dalam negara.

Aktiviti-aktiviti sukan pula dibenarkan tetapi tanpa penglibatan peserta antarabangsa dan penonton.

Selaras dengan pelanjutan tempoh PKPP, Tabung COVID-19 yang diurus oleh NADMA juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

Pihak yang ingin menyumbang kepada tabung ini boleh berbuat demikian untuk membantu mangsa Covid-19 dan menyediakan keperluan membendung wabak tersebut.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: