Taikun mudah dapat tanah, orang kampung terus bertani secara daif
SEPERTI yang saya jangka, MCA akan bertindak sebagai ‘wakil’ parti dalam kerajaan untuk membela pekebun-pekebun haram seiring dengan tekanan DAP di pihak pembangkang dan dilengkapi dengan rangkaian badan bukan kerajaan (NGO).
Sudah terang lagi bersuluh yang ini adalah isu pencerobohan tanah yang sangat bersistematik dan rapi.
Dengan kata lain, ini adalah suatu kegiatan haram yang sangat nyata. Tetapi tanpa segan silu para politikus membela penceroboh-penceroboh ini.
Mengapa MCA begitu bersungguh hingga perlu tubuhkan sebuah jawatankuasa khas ‘tergempar’ di peringkat parti untuk isu ini, sedangkan mereka sendiri ada dalam kerajaan negeri Pahang yang sedang mencari jalan untuk menyelesaikan isu ini?
MCA juga mengakui bahawa kerajaan negeri sepatutnya boleh ‘lakukan lebih baik’ dalam menyelesaikan kes ini.
Istimewa dan pentingnya isu ini bagi mereka sehingga Timbalan Menteri Perpaduan (Ti Lian Ker) dan Setiausaha Agung MCA (Chong Sin Woon) turut sertai jawatankuasa tersebut selain pimpinan parti yang lain.
Kita bimbang mereka akan lobi lebih banyak lagi dari apa yang telah dikompromikan oleh kerajaan baru-baru ini.
Lihat sahaja, mengapa jawatankuasa ini ditubuhkan hanya selepas pekebun-pekebun ini mendapat ‘kemenangan kecil’ beberapa hari sebelum itu?
Ini tidak mustahil kerana kita tahu yang parti-parti Melayu dalam kerajaan sedang bersungguh-sungguh mahu memenangi hati masyarakat Cina kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah dekat.
Dari sudut yang lain, sesiapa yang menceroboh sesuatu tidak sepatutnya diberikan apa-apa hak walau apa pun alasannya. Lebih-lebih lagi tanah yang diceroboh sebesar lebih 4000 ekar, bukan kecil-kecilan.
Jika kita berkompromi dengan modus operandi sebegini, kita telah membuka ‘floodgate’ untuk lebih ramai membuat perkara yang sama di seluruh negara.
Bayangkan, betapa mudahnya taikun-taikun boleh mendapat tanah nanti, sedangkan orang-orang kampung yang mengusahakan tanah secara halal akan terus bertani secara daif.
Kita harap pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat masuk campur dengan serius dalam isu ini kerana rakyat sudah mula sangsi dengan gerak-geri politikus-politikus yang mula melibatkan diri dalam isu ini.
Kita menyeru supaya rakyat dan NGO-NGO pantau rapat, sebagai ‘check and balance’ kepada kerajaan dan pihak berkuasa dalam isu ini kerana terbukti gelombang suara rakyat mampu mempengaruhi tindakan-tindakan kerajaan.
*Aminuddin Yahaya = Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan