SEORANG lelaki meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas ketika mendaki Gunung Santubong, di Kuching, hari ini.
Mangsa, Muhammad Hazwan Bakar, 24, disahkan meninggal dunia selepas dia berjaya dibawa turun dari puncak gunung setinggi 810 meter itu pada 9.16 malam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa mendaki gunung itu bersama dua rakannya, iaitu seorang lelaki dan wanita.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.20 petang memaklumkan ada pendaki terkandas di puncak gunung itu selepas seorang daripada mereka mengalami sesak nafas.
"Seramai 21 anggota dengan dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.
"Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati seorang lelaki tidak sedarkan diri dan tindakan awal diambil dengan memberi bantuan CPR namun tiada sebarang reaksi daripada mangsa," katanya.
Katanya, mangsa kemudian dibawa turun melalui denai yang curam dan berbukit menggunakan pengusung dan anggota mengambil masa dua jam untuk sampai ke kaki gunung.
"Sebaik tiba di kaki gunung, pegawai perubatan membuat pemeriksaan lanjut dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan