Isnin, 24 Ogos 2020

Jangan sampai perlekeh hudud

Dr Ahmad Sanusi Azmi

 

Hati-hati keluar kenyataan, jangan dilihat seakan merendahkan hukum Allah

1. BIARPUN kita tidak bersetuju sesama kita tentang sesuatu perkara, jangan sampai kita mengeluarkan kenyataan yang dilihat seakan memperlekeh atau merendahkan hukum Allah. Ini kerana, sikap merendahkan hukum Allah ini adalah perlakuan munafiq seperti yang disebutkan dalam al-Quran:

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا ، فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ

“Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintah dan hukumNya) di dalam Kitab (Al-Quran), apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain.” (al-Nisa: 140)

2. Rasulullah turut mengingatkan kita agar berhati-hati dalam mengeluarkan perkataan yang kita tidak menyangka akan kesannya yang besar. Sabda Rasulullah:

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِا

“Seorang lelaki mengucapkan satu kalimah yang dia tidak merasakan apa-apa masalah dengannya (memandang remeh dengan kalimah tersebut), yang mana ianya boleh membawanya kepada tujuh puluh jarak dalam neraka.” (HR al-Tirmizi)

3. Al-Imam al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa sebahagian manusia memandang remeh perkataan yang diucapkannya sehingga dia tidak menyangka perkataan tersebut menjadi penyebab kepada dia dihumban ke neraka. (Tuhfah al-Ahwazi)

4. Al-Imam Ali al-Qari pula meriwayatkan hadith berhubung kecaman Rasulullah terhadap mereka yang bercakap bagi tujuan bergurau tanpa menilai dahulu kesan ucapan tersebut barangkali tidak sesuai untuk dijadikan bahan gurauan. Sabda Rasulullah:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَقُولُ الْكَلِمَةَ لَا يَقُولُهَا إِلَّا لِيُضْحِكَ بِهِ النَّاسَ، يَهْوِي بِهَا أَبْعَدَ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ،

“Seorang hamba mengucapkan perkataan bagi tujuan bergurau (untuk digelak) sedangkan perkataan tersebut boleh membawanya ke neraka yang jarak keduanya antara langit dan bumi.” (Mirqa al-Mafatih)

5. Justeru, berhati-hatilah dalam mengeluarkan kenyataan. Jangan sampai perkataan kita dilihat seakan merendahkan hukum Allah. Kesilapan manusia melaksanakan hukuman tiada kaitan dengan hudud Allah.

* Dr Ahmad Sanusi Azmi -Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Tiada ulasan: