Ahad, 30 Ogos 2020

84 ditahan ingkar PKPP, termasuk 45 di kelab malam

Ismail Sabri Yaakob berkata, 55 daripada 84 individu yang 
ditahan itu dikompaun, 27 direman dan 2 lagi dibebaskan dengan 
jaminan.

PETALING JAYA: Polis menahan 84 individu kerana mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan, termasuk 45 orang yang mengunjungi kelab malam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, 55 daripadanya dikompaun, 27 direman dan 2 lagi dibebaskan dengan jaminan.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (17), tidak memakai pelitup muka (10), premis beroperasi lebih masa (2), premis beroperasi tanpa lesen (1), aktiviti menyukarkan penjarakan fizikal (7) dan 2 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.

Ismail berkata, tiada tangkapan dilakukan menerusi 62 sekatan jalan di seluruh negara semalam bagi mengekang kemasukan PATI, khasnya di lorong tikus.

Beliau berkata, pihak berkuasa menjalankan 418 pemeriksaan dan mendapati semua individu yang menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah mematuhi SOP ditetapkan.

Katanya, seramai 20,190 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga semalam, ditempatkan di 74 hotel dan 4 institut latihan awam di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah serta Labuan.

Mereka pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,854 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 56 individu dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 11,280 individu sudah dibenarkan pulang selepas selesai menjalani kuarantin wajib.

Tiada ulasan: