Ketika pembangkang berani, dah jadi kerajaan bayang pun hilang
BANGI – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim semalam, hanyalah mukadimah drama politik dimainkan oleh politikus yang sudah usang dan gersang dalam konteks perjuangan bangsa dan agama.
Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, sekiranya betul mereka pejuang agama dan bangsa, mereka dicabar untuk ke Raub dan pertahankan tanah kerajaan serta mengembalikan Tanah Rizab Melayu.
Katanya, mereka juga perlu membela nasib Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, berjuang menghapuskan sekolah vernakular dan sebagainya seperti mana ketika mereka menjadi pembangkang dulu.
“Jika tidak, kemenangan di Slim hanyalah satu mukadimah kepada drama kerakusan kuasa yang akan terus bermaharajalela melalui seruan-seruan retorik membela agama dan bangsa sahaja.
“Lagi satu, jika benar kemenangan di DUN Slim – di bawah Parlimen Tanjung Malim – ini menunjukkan sokongan kaum bukan Melayu terhadap kerajaan, pastinya tiada masalah untuk parti-parti politik Melayu meletakkan calon di kerusi Parlimen Tanjung Malim.
“…yang kononnya menjadi kerusi tradisi MCA di mana majoriti pengundinya adalah orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Haji Aminuddin menjelaskan bahawa saranan itu diusulkan susulan seringkali mendengar alasan ‘kerusi tidak cukup untuk perjuangkan agenda Melayu dan Islam di Parlimen’.
“Apakah kerusi ini akan hanya menjadi kuota ‘safe seat’ bagi MCA untuk ke Parlimen? Kita tunggu dan lihat sahajalah gelagat mereka ini,” katanya.
Pada perkembangan sama, Haji Aminuddin berkata, kemenangan BN semalam – majoriti 10,945 undi – tiada apa yang nak disorakkan sangat bahkan hanya kemenangan politik untuk menjaga kuasa.
“Selain daripada itu saya tak nampak ianya akan merubah sikap BN kepada semakin membela nasib bangsa dan agama negara. Mungkin ada yang marah dengan saya tapi saya tidak kisah kerana saya sudah melihat begitu banyak keadaan nasib bangsa dan agama tak berubah-ubah, tidak kira siapapun yang memerintah.
“Ya, satu aspek kita merasa lega kerana kini negara diperintah oleh ‘kerajaan Melayu’ tetapi apakah itu akan diterjemahkan dalam realiti membangunkan dan membela orang Melayu? Saya agak sangsi.
“Lihat sahaja kes Adib, kes judi haram, kes pencerobohan tanah haram, kes penghapusan tanah melayu, kes sekolah vernakular, kempen BMF, kes tulisan Jawi, kes UEC, kes arak dan banyak lagi yang merupakan antara sebahagian kes yang melihatkan gelagat parti-parti Melayu dalam kerajaan,” katanya.
Haji Aminuddin berkata, beliau tidak nampak kelibat parti ‘Melayu’ dan ‘Islam’ bangun membela sebagaimana mereka bangkit ketika menjadi pembangkang dahulu.
“Ketika menjadi pembangkang memang kita nampak keberanian mereka tetapi rupa-rupanya bila sudah memerintah jangankan taring dan belang hilang, bayang pun sudah tidak nampak.
“Saya tidak tahu mengapa, dan ini sangat mengecewakan,” katanya kesal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan