Sabtu, 29 Ogos 2020

Putrajaya peruntuk RM10 juta untuk Rela di Sabah

Muhyiddin Yassin memeriksa perbarisan anggota Rela di Universiti 
Malaysia Sabah hari ini. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada Jabatan Sukarelawan (Rela) di Sabah untuk membeli pakaian seragam baru kepada kira-kira 298,561 anggota di negeri itu.

“Saya setuju memberikan peruntukan RM10 juta sebagai satu sumbangan kecil bagi menghargai perkhidmatan cemerlang pasukan Rela di Sabah.

“Teruskan usaha bekerja untuk menjaga keamanan Sabah, kita kena pelihara perpaduan kaum yang ada di sini,” katanya ketika berucap dalam perjumpaan dengan anggota Rela di Universiti Malaysia Sabah hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan pemangku Timbalan Ketua Pengarah Rela, Kamarudin Mohd Rapig.

Muhyiddin berkata, kira-kira 3 juta anggota Rela di seluruh negara yang merupakan barisan pertahanan ke-3 perlu memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional bagi memastikan negara terus aman dan damai.

Muhyiddin Yassin (tengah) menghadiri Majlis Perhimpunan 
Bersama Anggota Rela Sabah di Universiti Malaysia Sabah 
di Kota Kinabalu hari ini.

“Kita mesti kukuhkan kerjasama ini demi perpaduan rakyat tidak kira apa kaum, kaya atau miskin.”

Terdahulu, beliau mengucapkan terima kasih kepada 1,319 anggota Rela yang menjadi petugas barisan depan bagi membendung penularan Covid-19.

“Seluruh keanggotaan Rela mempunyai peranan tersendiri yang penting dalam membantu kerajaan, baik dari aspek menjaga keselamatan awam, pengagihan bantuan dan makanan, sehinggalah usaha mendisiplinkan masyarakat supaya mematuhi SOP yang ditetapkan, ini semua sangat dihargai kerajaan.”

Tiada ulasan: