Sabtu, 29 Ogos 2020

Pandangan Wan Ahmad berhubung sekolah vernakular ‘ketinggalan zaman’, kata pemimpin SUPP

Wan Ahmad Fayhsal dikritik oleh ketua Pemuda SUPP Michael 
Tiang dan presiden SCA Richard Wee.

KUCHING: Pemimpin Pemuda SUPP menyifatkan gesaan timbalan menteri Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya sekolah vernakular dihapuskan ketinggalan zaman.

Rabu lepas Fayhsal berkata, sekolah vernakular harus ditutup kerana ia gagal melahirkan pelajar yang memiliki “identiti kebangsaan yang kuat”.

Ketua Pemuda SUPP Michael Tiang berkata, kenyataan timbalan menteri belia dan sukan itu bersifat perkauman dan mewakili pemikiran abad lepas.

“Kenyataan beliau memperlihatkan kejahilan mengenai globalisasi dan perkembangan dunia digital yang meliputi semua budaya, bangsa, agama dan bahasa bagi kemajuan masyarakat,” katanya.

“Mentaliti sepertinya akan memusnahkan kebaikan dan kepelbagaian masyarakat Malaysia yang majmuk, pelbagai budaya dan bahasa,” kata beliau kepada FMT.

Tiang berkata, walaupun bahasa rasmi di Sarawak adalah bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, namun kerajaan negeri membantu sekolah persendirian dan vernakular Cina melalui geran tahunan.

Beliau berkata, ahli politik dari Semenanjung sering mempolitikkan isu pendidikan untuk meraih keuntungan politik.

“Lebih buruk, mereka turut mempengaruhi ‘ejen mereka’ di Sarawak supaya menyebarkan sentimen sedemikian di negeri ini,” katanya, sekali gus menggesa orang ramai supaya menolak mainan politik dan retorik sedemikian.

Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak Richard Wee juga menyuarakan kekesalan atas gesaan Fayhsal supaya sekolah vernakular dihapuskan.

Beliau berkata, ia menunjukkan seolah-olah Fayhsal cuba “melupuskan” akar umbi kaum lain di negara ini.

Katanya, timbalan menteri itu tidak bertimbang rasa terhadap kaum lain di Malaysia.

“Di Sarawak kita tidak mempunyai masalah berhubung perkara ini,” katanya, selain menambah bahawa pendidikan dan penjagaan kesihatan seharusnya melampaui kepentingan politik.

Tiada ulasan: