Selasa, 25 Ogos 2020

Perlembagaan Persekutuan perlu diajar di sekolah: Pakar

fazleensafina

 

Pengetahuan asas undang-undang di negara ini amat lemah

KUALA LUMPUR – Perlembagaan Persekutuan perlu diajarkan di peringkat sekolah bagi memastikan pemahamannya dalam kalangan rakyat, selain mendidik rakyat Malaysia mengenai prinsip dan nilai-nilainya, kata pakar perundangan Professor Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi.

Beliau berkata, pengetahuan asas undang-undang di negara ini amat lemah, disebabkan Pelembagaan Persekutuan tidak diajarkan di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah, ataupun di universiti sebagai satu mata pelajaran wajib.

“Pada masa sama, di Malaysia seseorang itu boleh menjadi seorang peguam ataupun hakim, tanpa perlu berlajar dan memahami perlembagaan walaupun untuk sehari, malah mereka ini mungkin boleh jadi seorang graduan undang-undang dari luar negara seperti dari England,” katanya dalam bicarawara bertajuk Rukun Negara dan Perlembagaan yang disiarkan Bernama TV di sini hari ini.

Beliau turut menyatakan yang sebagai sebuah negara muda, pemahaman perlembagaan amat rendah dalam kalangan penjawat awam and juga orang awam.

“Jika tiada pemahaman perlembagaan, patriotisme perlembagaan akan menjadi lebih lemah, dan beberapa kesulitan dalam beberapa dekad lepas, menjadikan terdapat kumpulan kecil yang cuba memperkecilkan Perlembagaan Persekutuan dengan membangkitkan isu agama dan cuma mengatakan Perlembagaan tidak boleh menjadi undang-undang utama dan perlu digantikan dengan suatu yang lain.

“Secara peribadinya saya katakan, tidak ada apa-apa dalam Perlembagaan Persektuan yang menghalang kita daripada berakhlak mulia, dari beragama dan dari melakukan perkara baik yang agama galakkan kita lakukan,” katanya.

Pada rancangan itu juga Shad menyatakan Rukun Negara mempunyai nilai murni dan impiannya tersendiri dan Perlembagaan Persektuan dan Rukun Negara saling melengkapi antara satu sama lain. -Bernama

Tiada ulasan: