Prosiding akan dihadiri wakil keluarga mangsa korban, terselamat
MELBOURNE– Hukuman terhadap lelaki Australia didakwa membunuh 51 umat Islam dalam kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch tahun lalu, akan diketahui hari ini.
Prosiding hukuman akan bermula di Mahkamah Tinggi Christchurch, yang dihadiri keluarga mangsa yang terkorban dan terselamat, lapor The New Zealand Herald.
Brenton Tarrant, 29, pada mulanya mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan, bagaimanapun menukar pengakuan bersalah pada Mac lalu.
Pengganas kulit putih Australia itu mengaku membunuh 51 umat Islam yang sedang bersiap untuk menunaikan solat Jumaat pada 15 Mac 2019.
Dalam kejadian itu, Tarrant yang bersenjatakan senjata api semi-automatik melepaskan tembakan di Masjid Al-Noor, sebelum melakukan perkara sama di Masjid Linwood.
Tarrant dengan sengaja berkongsi video secara langsung ketika dia melepaskan tembakan rambang menerusi Facebook, selepas memuat naik pautan 73 halaman manifesto di 8chan.
8chan adalah laman web yang disertai berjuta pengguna tanpa nama yang dirahsiakan identitinya dan sebelum ini menjadi lubuk perkongsian kandungan pornografi kanak-kanak.
Tarrant mendedahkan, dia sudah merancang serangan itu dan berniat untuk menyasarkan masjid di Christchurch.
Semua mangsa kejadian adalah umat Islam, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Tragedi itu mengejutkan seluruh dunia, dengan Perdana Menteri Jacinda Ardern memperuntukkan undang-undang yang menyekat rakyat New Zealand untuk mengakses senjata api.- Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan