Sabtu, 29 Ogos 2020

Putrajaya kaji cadangan tubuh badan amanah lebuh raya, turunkan kadar tol

Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan melihat semula 
terma perjanjian 7 daripada 35 tol yang dipersetujui kerajaan 
terdahulu.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti kertas cadangan untuk mengumpul semua 35 lebuh raya, termasuk 6 yang dalam proses pembinaan untuk diletakkan di bawah sebuah badan amanah lebuh raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata, ia antara usaha kerajaan untuk menurunkan kadar tol, termasuk di lebuh raya PLUS.

“Terdapat cadangan sebagai contoh, oleh sebuah syarikat untuk menubuhkan amanah lebuh raya, meletakkan segalanya dalam amanah.

“Dengan berbuat demikian, kadar tol kemungkinan dapat diturunkan, tetapi buat masa sekarang, ia sedang dibincangkan kerana perkara ini sangat rumit dan kami perlu melalui butiran terperinci,” katanya dalam sebuah program yang disiarkan TV3 hari ini.

Antara lebuh raya utama di negara ini termasuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang dimiliki UEM Group, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah, Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Pada masa sama, Mustapa berkata, kerajaan juga akan melihat semula terma perjanjian yang dipersetujui kerajaan terdahulu, membabitkan pengurangan kadar tol PLUS.

“Kajian itu kini dalam peringkat perbincangan dan dijangka siap 6 bulan lagi. Saya tidak mahu berjanji untuk mengurangkan kadar tol.

“Apa yang sedang dilaksanakan kami adalah melihat semula terma untuk memastikan perjanjian terbaik bagi semua pihak berkepentingan, ini babitkan 7 daripada 35 tol dan bagi yang lain, kita akan kaji juga.”

Antara pemegang kepentingan terbesar konsesi lebuh raya di negara ini ialah Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, seorang penganalisis ekuiti berkata, langkah untuk meletakkan semua pemegang konsesi lebuh raya di bawah satu bumbung akan dapat menstabilkan harga tol bagi jangka panjang.

“Bagaimanapun, kita perlu akui apabila semuanya berpusat, keuntungan yang diperoleh pemegang konsesi lebih raya juga akan berkurangan. Penjualan saham tertentu mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi ia tidak akan lama kerana pemegang saham utama adalah pemain peranan utama.”

Mengenai impak cadangan itu kepada rakyat, beliau berkata, langkah itu dapat mengurangkan beban pengguna yang kerap menggunakan lebuh raya, terutamanya mereka yang berulang-alik setiap hari.

“Pengguna lebuh raya mungkin dapat berjimat sedikit dalam jangka panjang, tetapi buat masa ini, kita perlu tunggu dan lihat berapa peratus penurunan yang mungkin dilaksanakan.”

Tiada ulasan: