MALAYSIAKINI
Kerajaan memutuskan umat Islam yang ingin bersembahyang di masjid tidak lagi perlu membawa sejadah dari rumah dan warga asing tidak akan lagi dilarang untuk menyertainya, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Dia berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan PKP hari ini.
"Setelah mendengar rayuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad dan atas nasihat Kementerian Kesihatan, mesyuarat khas hari ini setuju untuk tidak mewajibkan penggunaan sejadah di masjid.
"Mesyuarat juga setuju untuk membenarkan warga asing menjalankan ibadah solat jemaah di masjid bermula 1 September ini," katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.
Ismail berkata dia maklum berkenaan keluhan orang ramai yang terlupa membawa sejadah ke masjid, dan juga kalangan yang dihalang untuk bersembahyang di situ.
Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, semua rumah ibadat termasuk masjid dan surau ditutup.
Bagaimanapun masjid dan surau dibuka semula secara berperingkat sejak Jun lalu, tetapi ia terhad kepada warga Malaysia sahaja.
Beberapa syarat juga dikenakan seperti membawa sejadah sendiri, jumlah jemaah mengikut kapasiti masjid atau surau serta langkah-langkah keselamatan yang lain.
Dalam pada itu, Ismail berkata pemakaian pelitup muka masih diwajibkan dan jemaah tetap digalakkan membawa sejadah sendiri.
Jemaah masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan