MALAYSIAKINI
PARLIMEN l Dua rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berkaitan perjawatan Perdana Menteri dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), ditarik balik daripada dibentang untuk bacaan kali kedua hari ini.
Penarikan semula kedua-dua rang undang-undang itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan di bawah Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, selepas sesi soal jawab persidangan pagi tadi.
“Saya bangun untuk memohon mencadangkan bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya mohon untuk menarik balik DR 42/2019 Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 dan DR 25/2019 Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019 seperti yang tertera di nombor enam dan tujuh aturan urusan mesyuarat hari ini,” katanya.
Pindaan Perlembagaan Fasal 2 itu bertujuan untuk menggantikan perenggan (a) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan peruntukan bagi kriteria tambahan berhubung dengan kelayakan ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Melalui pindaan yang dicadangkan itu, seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri jika dia pernah memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen.
Rang Undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan itu dibentang untuk bacaan kali pertama pada 3 Dis tahun lepas, dan berada pada kedudukan keenam dalam aturan mesyuarat untuk bacaan kali kedua pada persidangan kali ini.
RUU IPCMC 2019 pula dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai tahun lepas bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia dan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.
Rang undang-undang itu dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Disember 2019 namun ditangguh untuk penambahbaikan dan berada pada kedudukan ketujuh aturan mesyuarat hari ini untuk bacaan kali kedua sebelum dibahaskan.
Takiyuddin pada 19 Ogos lepas dilaporkan berkata kerajaan memutuskan untuk menarik balik Rang Undang-Undang IPCMC 2019 susulan mendapat bantahan daripada pelbagai pihak dan akan digantikan dengan rang undang-undang baharu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan