Thursday, February 13, 2020

Wanita berusia 39 tahun mangsa terbaharu kes COVID-19

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF21022017_HARI-KE-8_KES-KIM-JONG-NAM_07
Dr. Noor Hisham Abdullah 
 

KUALA LUMPUR – Satu lagi kes terbaharu jangkitan COVID-19 disahkan hari ini melibatkan seorang wanita warganegara China berusia 39 tahun.

Kes yang dikenalpasti itu telah menjadikan jumlah kumulatif mereka yang dijangkiti seramai 19 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kes terbaru ini, wanita terbabit merupakan rakan kepada pesakit bagi kes ke 14 dan anak kepada kes 16 yang kini kedua-duanya sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, wanita itu bersama empat yang lain tiba di Malaysia dari Wuhan pada 25 Januari lalu.

Ujarnya, sebaik sahaja dua kes terdahulu dikesan positif iaitu kes-14 dan kes-16, mereka masing-masing pada 5 dan 7 Februari lalu telah diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan.

“Hasil aktiviti pemantauan yang dijalankan secara berterusan ke atasnya oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah mendapati beliau mula mengalami gejala demam dan batuk pada 12 Februari 2020.

“Beliau telah dirujuk ke HKL untuk dimasukkan ke wad bagi menerima rawatan dan siasatan selanjutnya.

“Ujian pengesanan dan pengesahan COVID-19 yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada hari yang sama. Beliau kini telah dimasukkan ke wad isolasi di HKL dan berada dalam keadaan stabil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun disahkan positif koronavirus menjadikan ia sebagai kes ke-18.

Ia menjadikan enam rakyat Malaysia disahkan positif wabak itu setakat ini.

Lelaki itu bekerja di Macau, China dan mempunyai sejarah perjalanan melawat ke tanah besar China sebelum kembali ke Malaysia pada 1 Februari. – MalaysiaGazette

No comments: