Sunday, February 2, 2020

TI-M gesa Suruhanjaya Sekuriti siasat dakwaan rasuah AirAsia

Dua eksekutif AirAsia dan AirAsia X disebut dalam dokumen 
undang-undang yang menyenaraikan insiden rasuah oleh Airbus.

PETALING JAYA: Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyiasat AirAsia dan AirAsia X berhubung dakwaan rasuah membabitkan Airbus dan 2 eksekutif syarikat penerbangan tambang murah itu.

Presiden Ti-M Muhammad Mohan berkata, tindakan itu perlu kerana kedua-dua syarikat tersebut merupakan entiti yang disenaraikan.

“Perkara ini adalah kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad berkata, 2 syarikat itu juga harus menjalankan siasatan sendiri berhubung dakwaan tersebut.

Semalam media Britain, The Telegraph melaporkan 2 “eksekutif” AirAsia dan AirAsia X disebut dalam dokumen undang-undang yang menyenaraikan insiden rasuah oleh Airbus bagi mendapatkan kontrak melalui orang tengah untuk menjual pesawatnya di seluruh dunia.
Presiden TI-M Muhammad Mohan.
Dokumen berkenaan adalah sebahagian daripada penyelesaian bernilai berbilion dolar yang dicapai dengan pihak berkuasa anti-rasuah di Britain, Perancis dan Amerika Syarikat selepas pengeluar kapal terbang Eropah itu mengaku tentang “kewujudan beberapa peringkat amalan rasuah dalam perniagaannya”, kata laporan itu.

Memetik dokumen yang dikepilkan dengan dokumen terbabit, The Telegraph melaporkan bahawa Airbus membayar AS$50 juta (RM204 juta) dan menawarkan AS$55 juta (RM225 juta) lagi untuk menaja satu pasukan sukan yang dikaitkan dengan 2 “pembuat keputusan utama” AirAsia dan AirAsia X yang tidak dinamakan.

Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, AirAsia “dengan tegas” menafikan dan menolak semua dakwaan salah laku dan berkata, ia akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

SPRM sebelum itu berkata, ia kini berhubung dengan pihak berkuasa Britain mengenai perkara tersebut.

Muhammad juga berkata, dakwaan terhadap syarikat penerbangan tambang murah itu membuktikan bahawa peruntukan liabiliti korporat yang merupakan sebahagian daripada Akta SPRM sangat diperlukan.

Peruntukan berkenaan akan mula berkuat kuasa pada Jun.

“Ia bagi memastikan governans baik dalam semua organisasi komersial di Malaysia, sementara syarikat dan pengarahnya bertanggungjawab mewujudkan prosedur mencukupi bagi mengawal risiko rasuah,” katanya.

No comments: