ULASAN | Saya masih berpendapat usaha melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Mentematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mempunyai lebih banyak keburukan berbanding kebaikan, Lebih-lebih lagi jika dilihat secara jangka panjang.
Menginggeriskan warga Malaysia, khususnya bangsa Melayu di Persekutuan Tanah Melayu belum memastikan kita meningkatkan daya fikir dan daya saing mereka. Kita boleh sahaja meningkatkan kecekapan warga berbahasa Inggeris, tapi janganlah sampai meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Banyak telah diperkatakan mengenai cara terbaik mendidik anak bangsa berasaskan bahasa kebangsaan. Jika mahu menyerlahkan bakat, pelajar perlu dididik dengan ‘bahasa minda’ yang bebas berfikir, mentafsir ilmu dan menyelesaikan persoalan kemanusiaan. Ceria dan bebas daripada kekangan berbahasa. Pembangunan minda adalah keperluan asas dalam mengasah bakat, khususnya ‘pemikiran berasaskan ilmu’.
Selepas lebih 60 tahun merdeka, saya yakin inilah yang sedang diperjuangkan oleh bangsa majoriti negara ini. Kita pernah menjelaskan dengan lantang satu ketika dahulu, “negara dan bangsa perlu membangun dengan acuan sendiri”. Mengapa iltizam ini seolah-olah mahu dikuburkan?
Memahami senario begini dan pengalaman melaksanakan PPSMI satu ketika dahulu, pastinya sudah mencukupi bagi kita mengambil iktibar daripada peristiwa pahit hasil kesilapan yang tidak sepatutnya. Laporan kajian menunjukkan anak Melayu dan Bumiputera di luar bandar, gagal teruk dalam sains dan teknologi (S&T), dan bahasa Inggerisnya pula entah ke mana.
Kita telah menganiaya ratusan ribu anak bangsa hanya kerana ada sekelompok kecil “orang Melayu bandar” merasakan kita tidak harus tertinggal daripada arus globalisasi. Oleh itu, perlu gunakan bahasa Inggeris dalam urusan pendidikan.
Ramai yang kurang menyedari arus globalisasi mempunyai banyak wajah. Dalam konteks S&T, jelas negara maju dan berkuasa berhasrat untuk mempengaruhi dan menggunakan sumber ilmu dari negara membangun untuk kemajuan dan mengukuh penguasaan mereka. Dengan menggunakan platform penerbitan ilmiah berimpak pula, kita digalakkan untuk menulis dalam bahasa Inggeris, kononnya bahasa global, bagi membolehkan ilmu baharu tersalur dengan mudah kepada mereka.
Ramai penyelidik dari negara membangun menjadi hamba kepada negara maju atas dasar perkongsian ilmu. Bagus untuk meningkatkan kesarjanaan kendiri, tetapi belum pasti bermanfaat untuk negara. Dapatan kajian ufuk ilmu sesuai untuk kertas jurnal, tetapi belum mampu diterjemah kepada teknologi tinggi untuk pembangun negara.
Jepun dan Korea cukup sedar mengenai fenomena ini. Beberapa rakan dari sana pernah menjelaskan kepada saya mengenai betapa penting ilmu tersimpan dalam bahasa sendiri. Oleh itu, dasar penerbitan laporan teknikal dan penyelidikan mereka ditetapkan dalam bahasa ibunda supaya tidak mudah mengalir keluar dari negaranya. Hanya sebahagian kecil penerbitan ilmiah diterjemahkan ke bahasa Inggeris untuk perkongsian global.
Walaupun warga Malaysia digalakkan menjadi masyarakat pelbagai bahasa, khususnya bahasa Melayu dan Inggeris. Hakikatnya kita hanya perlukan segelintir warga menjadi warga global bagi menghubungkan Malaysia dan dunia luar.
Sebahagian besar warga diperlukan untuk kepentingan negara, sebagai pentadbir, pengurus, pendidik, jurutera, pakar perubatan, pengusaha dan pedagang berkualiti dan berjati diri kebangsaan. Rakyat mengharapkan semua urusan mereka dilaksanakan dalam bahasa Melayu.
Satu perkara kritikal yang merugikan pasti berlaku jika agenda PPSMI mahu diteruskan. Dapatan kajian menunjukkan ramai potensi bakat dalam kalangan pelajar di luar bandar akan terhalang hanya kerana kekangan bahasa. Seorang sahabat berhujah, “Banyak bakat sains akan terhalang hanya kerana kita mahu menggunakan bahasa Inggeris untuk pendidikan sains dan matematik.”
Kita sedia maklum, bakat sains biasa-biasa memang banyak, bakat sains luar biasa hanya beberapa, tetapi bakat sains unggul sukar diserlah. Mengenali dan menyegarkan bakat bukan mudah.
Kebanyakan masa ia lewat dikenali, atau sudah terlambat untuk dibangunkan.
Mengajar sains dan matematik anak Melayu dan Bumiputera luar bandar dengan bahasa Inggeris, hanya akan menghalang atau membunuh bakat yang belum sempat bercambah. Kehilangan sumber bakat dalam kalangan golongan miskin dan sederhana hanya akan merugikan bangsa dan membantut kemajuan negara.
Kita perlu membina bangsa Malaysia berasaskan budaya bangsa asal dan membina ketamadunan negara berpandukan nilai sepunya. Bahasa Melayu Ilmu tinggi adalah prasyarat kehormatan, keharmonian dan kewibawaan sebuah negara bangsa tercinta. Kepada pemimpin politik, pemimpin keilmuan dan masyarakat berjati diri kebangsaan, marilah kita bersama memikul amanah yang ditinggalkan oleh para perjuangan terdahulu dengan iltizam berpandangan jauh.
*PROF EMERITUS IBRAHIM KOMOO ialah alumni Universiti Kebangsaan Malaysia dan felo utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) universiti itu.
No comments:
Post a Comment