Friday, February 14, 2020

Penduduk PPR berdemo tuntut DBKL tunai janji tak kenakan sewa

Wakil penduduk PPR Sri Aman, Shila Sinnayah menyerahkan 
surat tuntutan kepada pegawai khas datuk bandar Kuala Lumpur 
di Menara DBKL hari ini.
 
KUALA LUMPUR: Sekumpulan penduduk PPR Sri Aman di Jinjang Utara menunjuk perasaan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini, mendakwa pihak berkuasa tempatan tidak tunaikan janji untuk tidak akan kenakan sewa ke atas rumah yang mereka huni.

Wakil kumpulan itu, Shila Sinnayah, 47, berkata mereka ini adalah bekas penduduk rumah panjang Jinjang Utara, sebuah penempatan sementara, yang dipindahkan ke unit-unit yang dijanjikan kepada mereka di PPR itu.

Dalam penempatan semula itu, Shila mendakwa mereka dijanjikan tidak perlu membuat apa-apa bayaran kerana semuanya dibiayai kerajaan.

“Namun, selepas 6 bulan kami mendiami rumah berkenaan sejak 2017, kami dituntut untuk membayar sewa,” katanya kepada pemberita, bersama 20 yang berhimpun hari ini.

Shila bertegas unit PPR yang mereka diami itu dijanjikan kepada mereka, tapi urusan pemilikan rumah itu masih belum selesai hingga ke hari ini.

Katanya, mereka tidak pasti kenapa urusan masih tidak selesai walaupun wang “bagi urusan guaman dan insurans perumahan” sudah dibayar.

“Sudah masuk tahun 2020 dan kami masih terus menunggu. Bila hendak selesai masalah ini kami tidak tahu. Dijanjikan untuk kami beli, wang sudah dikutip, tetapi masih tidak ada apa-apa yang berlaku,” katanya.
Kumpulan penduduk membawa plakad memaparkan kronologi 
peristiwa penempatan semula warga PPR Sri Aman.
Menurut Shila, mereka diwajibkan bayar sewa bulanan sebanyak RM250 sejak Feb 2018.

“Kami penduduk berpendapatan rendah. Kami kebanyakannya hanya bekerja dengan gaji RM1,000 lebih sahaja, sebab itulah kami duduk di PPR, bukannya di perumahan mewah lain,” tambahnya.

Shila berkata, mereka mahu datuk bandar Kuala Lumpur bertemu mereka dalam masa 14 hari bagi menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan ini.

Seorang pegawai khasnya turun bertemu penunjuk perasaan dan menerima surat tuntutan mereka, namun enggan memberikan sebarang ulasan kepada media.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Arumugam Marimuthu, 57, merayu Pakatan Harapan mengambi perhatian isu mereka ini.

Dia merasakan seperti penduduk sudah dipermainkan DBKL.

“Kami sudah tidak tahu di mana lagi untuk pergi bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

“Saya rayu pemimpin PH tolong turun padang, lihat masalah penduduk dan selesaikan secepat mungkin.”

No comments: