Tuesday, February 18, 2020

PAS tuntut penjelasan 4 hotel Tabung Haji ditutup

MALAYSIAKINI




PAS menuntut penjelasan berhubung surat yang tular mengatakan empat rangkaian hotel di bawah kumpulan TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) telah ditutup.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (LTH), Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Mujahid Yusof dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi penjelasan sekiranya benar penutupan hotel berkenaan.


“PAS meminta justifikasi kukuh berhubung perkara ini. Adakah keempat-empat hotel tersebut mengalami masalah kewangan yang serius? Adakah ia akan diambil alih oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) atau dijual kepada pihak lain?

“PAS turut bimbang dengan nasib semua aset hartanah LTH bernilai RM1.4 bilion (nilai buku) yang telah dipindahkan kepada UJSB antaranya tanah TRX KL (RM196 juta), Platinum Park (RM486 juta) dan tanah Presint 4 Putrajaya (RM92 juta).

“Apakah sebenarnya makna pemulihan jika aset-aset LTH milik umat Islam boleh dipindah milik kepada pihak lain dengan sewenang-wenangnya?,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, tular surat Tabung Haji di media sosial yang mengumumkan penutupan empat hotel di bawah naungan LTH, yang ditandatangani pemangku pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif THHR Zulkefli Ahmad bertarikh 17 Feb lalu.

Dalam surat berkenaan dinyatakan empat buah hotel THHR di TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu akan ditamatkan operasi dan perkhidmatan berkuatkuasa 1 Apr depan.

Dinyatakan, penamatan operasi dan perkhidmatan tersebut merupakan keputusan tidak dapat dielakkan memandangkan operasi dan pengurusan hotel terlibat sudah atau akan diambil alih UJSB.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan ketulenan surat berkenaan dan sedang menghubungi pihak berkaitan untuk pengesahan.

Sementara itu, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) turut menzahirkan rasa kesal atas berita berkenaan dan menggesa pihak yang terbabit untuk memberikan jawapan dari sudut ekonomi tentang dakwaan penamatan operasi hotel tersebut.

“Alasan “keputusan yang tidak dapat dielakkan” sangat kabur dan meragukan.

“Persoalaannya sekarang, adakah kewangan Tabung Haji begitu teruk hingga masih mencairkan aset-aset milik Tabung Haji ala jualan penghabisan stok,” kata ketua DPIM Shahir Adnan dalam satu kenyataan.


No comments: