Bekas menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik, kini mengetuai
Bersatu Simpang Renggam selepas memenangi pemilihan bahagian itu hari
ini.
"Alhamdulillah. Dengan izin Allah, kemenangan telah berpihak kepada saya," ciapnya.
Bekas pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu juga berjanji untuk menjalankan tugasnya sebagai ketua bahagian sebaik mungkin.
"Amanah ini akan saya galas sebaik yang mungkin," katanya lagi.
Maszlee menewaskan pencabarnya dengan kelebihan undi yang selesa iaitu 132 undi. Beliau memperoleh 211 undi, manakala lawannya, Ahmad Ahem, mendapat 79 undi.
Maszlee ialah tokoh akademik yang menyertai politik sepenuh masa selepas meletak jawatan daripada UIA dan bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 pada 2018.
Jadi pengerusi Johor
Apabila PH membentuk kerajaan, Maszlee dilantik sebagai menteri pendidikan namun melepaskan jawatannya pada 2 Jan lalu lalu hanya selepas 20 bulan memegang jawatan berkenaan.
Katanya, langkah tersebut diambil ekoran nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
"Saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa pada 3 Jan 2020," katanya.
Sejak itu Mahathir memangku jawatan menteri pendidikan.
Sementara itu, Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang juga memenangi pemilihan jawatan sama untuk bahagian Tebrau.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa yang juga bekas exco kerajaan negeri itu menang dalam pertembungan tiga penjuru.
Beliau menewaskan dua pencabarnya yang lain dengan memperoleh 379 undi, manakala dua pencabarnya, Saiful Anuar Yahya mendapat 87 undi dan Norlehan Ariffin mendapat 52 undi.
Pada 30 April tahun lalu Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Mazlan dilantik sebagai pengerusi Bersatu Johor dengan mengambil alih tugas yang sebelum itu disandang presiden parti, Muhyiddin Yassin.
No comments:
Post a Comment