KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa tidak ada rancangan untuk menutup empat hotel Tabung Haji, sebaliknya rangkaian hotel itu akan beroperasi di bawah pengurusan Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB).
Malah, kebanyakan daripada 278 kakitangan dikekalkan dan bakinya ditawarkan kepada jawatan lain, menurut Penasihat media dan komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin.
Proses itu dilakukan kerana Lembaga Tabung Haji (TH) telah menjual hotel terbabit kepada UJSB.
Empat hotel terlibat adalah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Penang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu yang sebelum ini diuruskan oleh TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR).
UJSB ini adalah syarikat milik penuh kerajaan yang diwujudkan sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan dan penstrukturan semula TH tahun lalu.
“Sejak mengambil alih hotel-hotel berkenaan, UJSB telah menyediakan modal baru bagi menambahbaik kemudahan sedia ada demi manfaat dan keselesaan pelanggan.
“Tidak ada kakitangan akan diberhentikan Sebaliknya 90% akan terus bekerja dengan rangkaian hotel baharu ini manakala baki 10% akan ditawarkan pekerjaan di TH Kelana Jaya.
“Selain itu, 90% kakitangan yang terlibat akan juga menerima saguhati berdasarkan sumbangan yang telah mereka berikan sepanjang berkhidmat di THHR,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau menjawab pelbagai kritikan dan kebimbangan orang ramai susulan notis penutupan empat hotel milik anak syarikat TH semalam.
Tambahnya, laporan berhubung penutupan empat hotel itu adalah fitnah yang dibuat oleh jentera propaganda pembangkang.
“Masalah dengan jentera propaganda pembangkang ini, khususnya yang memegang jawatan parti, mereka suka mengelirukan rakyat jelata dengan mencipta dan menyebarkan berita palsu – fake news,” katanya. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment