Thursday, February 13, 2020

Kenapa parti pemerintah melenting usul pembangkang sokong PM?


Kumara Sabapatty


MGF12022020_MALAM-BERSAMA-MEDIA-MCA_15
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (tengah) diiringi Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon (tiga kiri) dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon (empat kanan) serta pemimpin tertinggi MCA pada Majlis Malam Bersama Media MCA sempena tahun baru cina 2020 di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 
 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wee Ka Siong hairan dengan sikap parti pemerintah yang tidak mengalu-alukan usul pembangkang menyokong Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Presiden MCA itu berkata, jika usul dibuat parti pembangkang untuk menyokong kerajaan adalah amat janggal sekali yang melenting adalah mereka yang ada dalam parti memerintah.

“Ini hanya di Malaysia ‘boleh land’ berlaku. Saya tidak tahu apakah muslihatnya. Secara logik saya tidak kata pasal apa justifikasi ini memang janggal sekali..kalau pembangkang di mana-mana negara demokrasi subur jika nyatakan sokongan pada kerajaan, parti pemerintah sudah tentu bukan sahaja menyambut baik malah mengucapkan terima kasih.

“Tapi dalam Malaysia ini apabila ada sokongan terhadap perdana menteri kononnya, wah…sudah dijadikan isu besar kononnya ada satu ribut akan berlaku,saya pun tak tahu apa logik itu dan keduanya kalaulah itu dianggap sebagai berita tidak benar, kenapa pula ada orang membuta tuli menjadikan isu berita tidak benar sebagai satu isu sangat penting dan memberi komen dan ia tidak masuk akal.

“Ketiga,sekarang kalau negara kita pembangkang mengusul supaya perdana menteri dibuang ataupun undi tidak percaya, itu pada mana-mana negara demokrasi mungkinlah (reaksi berlainan) tapi seandainya seandainya ada usul ini, tiba tiba yang tidak puas hati yang tidak senang adalah parti pemerintah,” katanya kepada pemberita di Malam Meraikan Media 2020 bersama pemimpin Tertinggi MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang malam tadi.

Dalam perkara berkaitan, Ka Siong menjelaskan tindakan itu membuktikan parti pemerintah ‘tidur atas katil yang sama dan berkongsi bantal dan selimut, tapi mimpi lain-lain.’

Beliau terkilan bagaimana perkara berkenaan boleh terjadi dan ia memberi gambaran sesuatu tidak kena serta ada udang di sebalik batu sambil mengambil pendirian tidak berhasrat untuk mengetahui apa yang sedang berlaku di dalam parti kerajaan PH.

“Saya rasakan wujud tiga fenomena luar biasa di Malaysia, pembangkang mengusulkan undi percaya kepada Perdana Menteri tetapi yang tidak suka rasa marah melenting serta meradang ini adalah parti pemerintah.Ini pelik.

“Bukan itu sahaja, mereka menganggap ini akan memecah-belahkan parti PH. apa yang memecahbelahkan? Sebaliknya kalau undi tidak percaya, barulah ini nak kucar-kacirkan keadaan tapi bagi saya contoh ada tak mana-mana negara di dunia ini yang mana usul yang dibawa pembangkang dianggap mensabotaj kerajaan. Saya tak nampak satu contoh pun di dunia ini,” ujarnya.

Menurut Ahli Parlimen Air Hitam, parti memerintah sebenarnya menggambarkan keadaan tidak harmoni sesama mereka dan konflik dalaman yang dapat dilihat oleh rakyat.

Ditanya sama ada BN dan MCA menyokong usul berkenaan sekiranya dibentangkan di Parlimen oleh Pas nanti, Ka Siong berkata, pihaknya perlu meneliti kandungan usul itu terlebih dahulu sebelum menyokongnya.

“Bagaimana kamu boleh mengharapkan saya memberi pengesahan membuta tuli sedangkan pada masa ini saya tidak tahu isi kandunganya dan ia sangat tidak adil.

“Saya rasa kita perlu bersifat objektif dan ini pendirian kami (MCA). Apajua keputusan yang kami buat adalah perlu berlandaskan kepentingan bersifat rasional yang mengutamakan rakyat dan negara, itu penting,” tegasnya.

Mengulas soalan wartawan sama ada Mahathir perlu berkhidmat satu penggal atau berundur separuh jalan, Ka Siong bagaimanapun menjelaskan, soalan itu sepatutnya diajukan kepada Pakatan Harapan kerana konsensus yang dicapai bukan antara beliau dan Mahathir.

“Pertama sekali kamu perlu tanya soalan ini kepada individu terbabit (Tun M) sama ada dia bersedia berkhidmat satu penggal atau tidak dan keduanya samada ada sebarang konsensus sesama sekutu dicapai memandangkan ada yang kata ya ada yang kata tidak..ada yang kata tidak diperincikan dan di sini kami (pembangkang) pun keliru juga.

“Sekiranya saya tampil dengan pendirian PM perlu berundur esok nanti kamu akan kata saya hanya mengambil kesempatan untuk mencetuskan pecah belah di negara ini atau parti pemerintah.

“Jadi pada asasnya pentingnya adalah pendirian individu itu sendiri sama ada dia rela atau tidak,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

No comments: