MURID kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Petra Jaya, di sini, diarah menjalani kuarantin diri sebagai langkah berjaga-jaga terhadap wabak Covid-19.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Dr Azhar Ahmad berkata, arahan itu dikeluarkan selepas keluarga salah seorang murid PPKI itu menerima perintah kuarantin daripada Pejabat Kesihatan Kuching, semalam.
Ia berikutan salah seorang daripada ahli keluarga terbabit mengalami demam sekembalinya dari Singapura.
Beliau berkata, arahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu akan dikuatkuasakan sehingga 25 Februari ini.
“Ahli keluarga murid terbabit menghubungi SK Petra Jaya menyatakan anak mereka tidak dapat datang ke sekolah hari ini.
“Pihak sekolah kemudian mengambil langkah berjaga-jaga berdasarkan pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh 4 Februari 2020 Langkah Kesiapsagaan Pencegahan Kejadian Jangkitan 2019 Coronavirus Baharu di Sekolah Kerajaan dan Bantuan Kerajaan KPM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azhar berkata, pihak sekolah juga mengadakan saringan suhu badan dan murid yang demam diarah balik pagi tadi
“Kelas tempat belajar murid terbabit (yang menjalani kurantin bersama keluarganya) pula direhatkan hari ini untuk pembersihan.
“Esok, kelas berjalan seperti biasa dengan mengekalkan amalan membuat saringan suhu badan dan meminta murid yang demam dibawa balik oleh ibu bapa berdasarkan prosedur operasi standard,” katanya.
No comments:
Post a Comment