Thursday, February 13, 2020

Jual bangunan UMNO Selangor, sekretariat minta Zahid campur tangan

Manzaidi Mohd Amin
MGF13022020_SEKRETARIAT-SELAMATKAN-BANGUNAN-UMNO-SELANGOR_09
Ketua Sekretariat Badan Bertindak "Selamatkan Bangunan Umno Selangor", Datuk Mohd Isa Abu Kasim pada sidang media membantah tindakan untuk menjual Bangunan Umno Selangor di perkarangan Bangunan Umno Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI
 

SHAH ALAM – Sekretariat Badan Bertindak Selamatkan Bangunan UMNO Selangor meminta Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi campur tangan dengan kemelut yang berlaku dalam Badan Perhubungan UMNO Selangor berhubung cadangan penjualan bangunan milik parti itu.

Pengerusinya, Datuk Mohd Isa Abu Kassim berkata, sebahagian dari Ketua UMNO Bahagian di negeri itu dan seluruh ahli tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh Pengerusi Perhubungan Negeri, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Menurut beliau, sekretariat itu memberi amaran sekiranya pengurusan UMNO tetap bertegas mahu menjual bangunan berkenaan, pihaknya tidak teragak-agak membawa kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Melalui sembang-sembang, saya difahamkan ada ganjaran kepada pihak yang bersetuju sekiranya bangunan itu dijual. Saya dapat tahu berita ini dan akan siasat, jika benar dan dapat bukti yang cukup, kita akan bawa ke SPRM.

“Sebelum ini pun sudah dua aset UMNO negeri iaitu rumah kedai di Seksyen 19 Shah Alam dan di Gombak sudah dijual, masing-masing dengan harga RM1.8 juta dan RM2 juta.

“Duit itu dikatakan digunakan untuk menanggung kos penyelenggaraan bangunan UMNO negeri.
Okey, tidak mengapa (jual dua aset itu), kita tidak halang. Tetapi, apabila buat keputusan mahu jual bangunan milik UMNO negeri, kita tidak setuju, kita bantah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pekarangan luar bangunan UMNO di sini, hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan, bangunan UMNO Selangor yang terletak di Jalan Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam itu akan dijual pada harga RM42 juta.

Pada masa sama, Badan Perhubungan UMNO Negeri dikatakan akan membeli bangunan milik World Wide di Seksyen 7 Shah Alam dengan harga RM17 juta.

“Bagaimanapun, setelah saya menghubungi ejen hartanah berkenaan, saya dimaklumkan harga keseluruhan bangunan yang kononnya akan dibeli itu RM15 juta,” katanya.

Kata Mohd Isa, adalah wajar Mat Nadzari dan pengurusan Badan Perhubungan UMNO negeri mengkaji semula keputusan penjualan bangunan itu dan membawa kes berkenaan ke peringkat akar umbi melalui mesyuarat cawangan dan bahagian sebagai usul.

“Kita juga mahu Badan Perhubungan mewujudkan sekretariat penilai yang dipengerusikan seorang Ketua UMNO Bahagian bukan dari anggota pengurusan, dianggotai wakil sayap, Mubarak dan ahli profesional yang mewakili akar umbi sebagai pengimbang kepada keputusan yang akan dibuat.

“Mat Nadzari juga mesti telus dalam urusan penjualan itu dan kemukakan kepada Jawatankuasa Perhubungan ‘surat tunjuk minat beserta harga pembelian’ daripada pihak yang berminat dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Negeri,” katanya. – MalaysiaGazette

No comments: