Tuesday, February 4, 2020

Hari ke-75: Saya tak mesej Jho Low mengenai transaksi kad kredit disekat - Najib

HIDIR REDUAN ABDUL RASHID & FAISAL ASYRAF



LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke- 75 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung:



11.00 pagi: Prosiding disambung semula.



10.33: Prosiding berhenti rehat seketika.



Saya tidak mesej Jho Low mengenai transaksi kad kredit disekat: Najib

10.17 pagi: Najib Razak menafikan beliau menghantar mesej kepada Jho Low mengenai transaksi kad kredit yang disekat pada 23 Dis 2014.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela, Harvinderjit Singh.

Harvinderjit bertanya mengenai satu log mesej perbualan yang dipertikaikan  antara Jho Low dan pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu pada 23 Dis, 2014.

Dalam log perbualan yang dikatakan itu, Jho Low didakwa memanjangkan mesej dari Najib yang bertanya mengapa kad kredit Platinum (Najib) tidak boleh digunakan dan meminta perkara itu diperiksa dengan AmBank.

Harvinderjit: Adakah anda menghantar mesej kepada Jho Low?
Najib: Tidak.

Najib bagaimanapun mengakui bahawa terdapat satu transaksi Visa Platinum yang berjumlah AS$ 130,625 di Honolulu, Hawaii, pada Disember 2014.

Sebelum ini, Najib mengakui bahawa transaksi itu untuk membeli sebuah jam tangan Chanel di Hawaii pada 22 Dis 2014.



Jho Low bantu hubungan dua hala dengan Arab Saudi

9.40 pagi: Bekas Perdana Menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa Jho Low membantu dalam mengukuhkan hubungan dua hala dengan Arab Saudi.

Beliau memberi contoh Jho Low telah membantu mendapatkan pelepasan untuk pesawat Malaysia mendarat di Jeddah tanpa visa ketika negara ini membawa keluar pelajar dari Mesir semasa peristiwa Kebangkitan Arab (Arab Spring).

"Seperti yang kamu tahu, sebab utama mengapa kami mempunyai hubungan dengan Jho Low kerana ia terbukti dia mempunyai hubungan istimewa dengan Arab Saudi dan beberapa keluarga diraja yang lain di Timur Tengah.
 "Atas dasar itu, beliau membantu, bukan sahaja sebagai saluran untuk Arab Saudi, tetapi juga membantu dalam sebahagian daripada hubungan dua hala dengan Arab Saudi.

"Sebagai contoh, ketika berlaku Arab Spring, dan pelajar-pelajar kita terperangkap di Mesir dan mahu pulang ke tanah air, saya meminta beliau membantu, untuk mendapatkan pelepasan dari Saudi untuk membolehkan terbang ke ruang udara mereka, agar pesawat kita mendarat di Jeddah tanpa visa, "katanya semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela Harvinderjit Singh.



'Derma RM2.6 bilion untuk pastikan saya bebas daripada penderma lain dalam PRU13'

9.36 pagi: Najib dalam keterangannya berkata sumbangan RM2.6 bilion daripada keluarga diraja Arab Saudi untuk memastikan beliau bebas daripada penderma korporat di kalangan orang lain dalam pilihanraya umum ke-13.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela Harvinderjit Singh, bekas perdana menteri itu mengatakan ia bertujuan memastikan beliau bebas daripada perasaan terhutang budi kepada penderma lain seperti individu-individu korporat di Malaysia.

"Sebagai presiden Umno, saya mahu sumber pendapatan untuk membuatkan saya bebas daripada penderma lain, yang bermakna saya tidak mempunyai IOU (I Owe You) dengan sesiapa sahaja.

"Saya lebih selesa jika saya tidak mengambil sumbangan korporat. Saya tidak mahu rasa terhutang budi kepada sesiapa.

"Sumber derma akan memenuhi keperluan parti (Umno) yang mana bukan termasuk membeli undi (yang dinafikan Najib sebelum ini) tetapi untuk aktiviti seperti acara, papan iklan. Ia adalah keperluan apabila BN adalah sebuah parti yang terlibat (bertanding) di 222 kerusi Parlimen di seluruh negara (menjelang PRU-13), "kata Najib.

Najib menambah, menerima sumbangan politik adalah perkara biasa yang diamalkan oleh pemimpin terdahulu, tanpa menyebut nama mereka.



Saya tahu RM2.6b masuk ke akaun kerana surat dari keluarga diraja Arab: Najib

9.23 pagi: Bekas Perdana Menteri Najib Razak memberitahu beliau tahu bahawa RM2.6 bilion dimasukkan ke akaunnya berdasarkan surat dari keluarga diraja Arab.

Semasa pemeriksaan semula, tertuduh mengatakan kayakinan beliau  berdasarkan surat yang mengatakan wang itu dimasukkan oleh Raja Arab Saudi ketika itu, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud melalui pelbagai saluran.

Harvinderjit bertanya bagaimana Najib tahu secara khusus bahawa RM2.6 bilion itu masuk ke akaun bank tertuduh walaupun tertuduh semasa pemeriksaan balas berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai jumlah tertentu yang masuk ke akaun banknya.

Semasa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan, Najib berkata Ketua Setiausaha peribadinya Azlin Alias ​​antara lain, biasanya memberitahunya bahawa wang mencukupi dalam akaunnya bagi beliau mengeluarkan cek, tanpa menyatakan jumlah tertentu.

"RM2.6 bilion berdasarkan surat derma yang saya terima.

"Saya percaya bahawa ia (RM2.6 bilion) datang dari derma Raja Abdullah melalui pelbagai saluran," kata Najib ketika memberi keterangan.



9.20 pagi: Bekas Perdana Menteri Najib Razak memasuki kandang saksi apabila prosiding bermula.
Pasukan pembelaan akan meneruskan pemeriksaan semula terhadap tertuduh.



8.59 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam.

Turut kelihatan menunggu prosiding bermula di mahkamah ialah peguam utama beliau Muhammad Shafee Abdullah, serta anggota pendakwaan.



Bekas pengurus hubungan AmBank, Krystle Yap mungkin memberi keterangan bagi pihak pembelaan pada hari ke-75 perbicaraan terhadap Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Semalam, peguam bekas perdana menteri itu, Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pihak pembelaan sedang meneliti untuk menyelesaikan pemeriksaan semula terhadap tertuduh hari ini, sekali gus memberi laluan bagi Yap memberi keterangan bagi pihak pembelaan.

Sejak perbicaraan di peringkat pembelaan bermula pada 3 Disember tahun lalu, Najib telah menjalani pemeriksaan utama oleh pasukan pembelaan selama tiga hari, dan tertakluk kepada pemeriksaan balas selama 11 hari.

Jika pihak pembelaan menyelesaikan pemeriksaan semula terhadap Najib hari ini, ia bermakna bekas perdana menteri perlu berada di kandang saksi selama 16 hari.

Yap adalah antara senarai saksi pendakwaan yang telah ditawarkan kepada pihak pembelaan berikutan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan Najib membela diri pada 11 November tahun lepas.

Semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan tahun lalu, Yap dirujuk dalam pelbagai keterangan,
termasuk bekas pegawai penyiasat Bank Negara Ahmad Farhan Sharifuddin, yang mengetuai serbuan sepasukan pegawai dari bank pusat itu di Ambank cawangan Jalan Raja Chulan pada Julai 2015.

Pemeriksaan semula oleh pasukan pembelaan terhadap Najib dijangka disambung semula di hadapan Nazlan sekitar jam 9 pagi ini.

Semalam, Najib antara lain memberi keterangan bahawa beliau tidak pasti  sama ada kedua-dua jaminan kerajaan, bagi RM4 bilion pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk SRC International, telah dibentangkan di Parlimen seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 2 (3) Akta Jaminan (Pertubuhan Perbadanan) 1965.


No comments: