GEORGETOWN - Empat anggota bomba tercedera ditimpa dinding bangunan ketika operasi memadam api di lima unit kedai dua tingkat (kelas A) di Lebuh Carnavon di sini malam tadi.
Menurutnya, kesemua empat anggota itu hanya mengalami kecederaan kecil dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
"Mereka mengalami kecederaan itu ketika melakukan semburan pada dinding bahagian tepi bangunan. Bangunan ini merupakan bangunan warisan (lama).
"Bagaimanapun, ia telah runtuh dan terkena anggota yang sedang bertugas, namun mereka tidak mengalami kecederaan serius. Mereka sedang dirawat dan keadaan stabil," katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian malam tadi.
Dalam pada itu, seramai 73 warga emas yang tinggal di rumah orang tua berhampiran berjaya diselamatkan dengan bantuan orang ramai.
Saadon berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.58 malam dan ketika sampai di lokasi, didapati api di bangunan dua tingkat sedang marak.
"Di bangunan sebelah pula, terdapat bangunan yang dijadikan rumah orang tua dengan jarak 6 meter dari bangunan yang terbakar. Semua 73 warga emas dibawa keluar dari bangunan tersebut dalam keadaan terkawal. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.
Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal daripada terus merebak pada jam 9.45 malam melibatkan lebih 60 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, Jalan Perak, Paya Terubong dan Bagan Jermal.
Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang berada di lokasi kejadian turut mengucapkan terima kasih kepada semua terlibat dalam operasi memadam kebakaran dan menyelamat mangsa.
Menurutnya, semua warga emas tersebut dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, Youth Centre dan Chew Kongsi di Lebuh Kimberly di sini.
Salah seorang anggota bomba diberi bantuan selepas cedera dihempap dinding ketika operasi pemadaman api.
No comments:
Post a Comment