Wednesday, February 19, 2020

Dijual Atau Dipindah Milik Bukti PH Gagal Pertahan Aset Milik Orang Islam – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR – Sama ada empat rangkaian hotel milik Tabung Haji (TH) dijual atau dipindah milik hakikatnya ia sudah tidak lagi menjadi milik agensi tersebut, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ia juga tegas Dr Shamsul, menjadi satu bukti kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan aset milik orang Islam melalui TH.

“Maka, TH tidak lagi boleh mengaut sebarang hasil keuntungan dari operasi aset-aset tersebut. Soalnya, mengapa pula ada pihak lain yang mampu menguruskan operasi tersebut?

“Apakah pihak tersebut tidak mementingkan keuntungan? Apa salahnya dengan jenama Tabung Haji atau TH itu?

“Apakah memang wujud semacam agenda terancang untuk mengikis dan melemahkan identiti orang Melayu Islam di negara ini? Soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Persoalan utama tambah Ahli Parlimen Lenggong itu ialah TH kini telah pun melepaskan pemilikan ke atas empat rangkaian hotel tersebut yang kini dijenamakan semula kepada Hotel Raia, bukan lagi menjadi milik TH tetapi sudah menjadi milik orang lain.

Ulasnya juga, belum pun reda dengan penjualan ladang TH Plantations yang mencecah 76.6% keluasannya, kini tular pula di media sosial dan heboh berita penjualan empat rangkaian hotel kepunyaan 9.4 juta pendeposit Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) yakni milik umat islam.

“Difahamkan, hotel berkenaan ialah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.

“Dalam notis itu juga menyatakan penamatan operasi tersebut disusuli dengan pelaksanaan ‘Staff Separation Scheme’ (SSS) kepada mereka yang terlibat.



“Surat dalaman yang tertular itu tidak dinafikan kesahihan kandungannya oleh pihak terbabit sehingga kini,” bidasnya.

Namun sebaliknya kata Dr Shamsul, TH juga tampil membuat penjelasan bahawa hotel-hotel tersebut tidak dijual, ia hanya dipindah milik dan diteruskan di bawah pengurusan baharu iaitu Urusharta Jamaah (UJ) Property Management Sdn. Bhd.

“Malah Mujahid (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri-Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa) dalam posting yang kini telah dipadamkan di dalam facebooknya turut mengakui hakikat bahawa rangkaian hotel terbabit telah dipindah milik.

“Melihat tiga kenyataan yang saling bercanggah itu mengundang lebih banyak persoalan dari jawapan,” tambahnya lagi.

Jelas Dr Shamsul lagi, taktik politik murahan Mujahid yang masih lagi memberi alasan sama dengan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) memang sudah dijangka.

“Realitinya tiada jawapan meyakinkan olehnya.



“TH sangat dekat dengan orang Islam. Maka, rakyat mahukan kenyataan meyakinkan dari beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab.

“Dan jika tidak mampu mengendalikan TH dengan cekap, beliau boleh mengemas barang peribadinya di Jabatan Perdana Menteri,” tegasnya lagi.

UMNO juga katanya konsisten mendesak agar satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan segera untuk membuat siasatan dan kajian secara terperinci mengenai permasalahan yang didakwa sedang melanda TH.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Shamsul turut menyentuh mengenai kadar hibah yang terendah pada tahun lepas iaitu 1.25%, kini rakyat tertunggu-tunggu apakah kadar hibah tahun ini akan mampu menyaingi kadar yang diumumkan semasa BN memerintah.

“Apa yang jelas pimpinan kerajaan PH, gagal memikul amanah menjaga dan memelihara aset serta harta umat Islam.

“Inilah akibatnya apabila meletakkan mereka yang bukan ahli di tempat sepenting ini,” selarnya lagi. – UMNO ONLINE

No comments: