Haji Rashidi Haris
Masih belum ada lagi sebarang tangkapan setakat ini
PADA 15 Februari 2020
bersamaan 21 Jamadilahir 1441, Gabungan Persatuan-Persatuan Silat
Pertahan Perlembagaan (PERTAHAN) dan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam
(PEMBELA), telah selamat menyerahkan memorandum ke bawah DYMM Yang
Di-Pertuan Agong berkaitan dengan keselamatan negara serta rentetan
penghinaan demi penghinaan terhadap Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu
yang dilihat kini semakin melampau dan tidak terbendung oleh pihak
berwajib.
2. Antara kandungan memorandum ialah:
Memohon perlucutan kerakyatan ke atas individu yang melampau-lampau
menghina Raja Permaisuri Agong. Jauh lebih dari itu di awal tahun 2019
telah ditular secara meluas gambar-gambar penghinaan terhadap SPB YDP
Agong Sultan Kelantan dan juga Sultan Pahang yang kini SPB YDP Agong,
dan semua Raja-Raja Melayu oleh media propaganda Sabah Sarawak Merdeka.
3. Hari ini Isnin, 17 Februari, PERTAHAN
menghantar ‘Surat Makluman’ untuk penyerahan memorandum ke Istana
Selangor. Tarikhnya bergantung kepada Datuk Bijaya atau pekenan Tuanku
Sultan Selangor sendiri, diharap ianya dapat dilaksanakan pada bila-bila
masa sekitar awal bulan Mac 2020, bagi penyerahan memorandum susulan
kepada semua Raja-Raja Melayu di seluruh negara bermula dengan Baginda
Tuanku Sultan Selangor dahulu yang telah bertitah supaya rakyat baginda
tidak mengangkat pemimpin komunis sebagai wira negara.
4. Titah perintah dari Tuanku Sultan pada
11 Disember 2019 mengisyaratkan betapa seriusnya teguran baginda Tuanku
terhadap rakyat baginda yang muktakhir ini semakin berlembut dan
terlalu apologetik terhadap golongan yang terang-terangan menolak
prinsip Rukun Negara yang pertama.
5. Prinsip Rukun Negara yang pertama
ialah Kepercayaan Kepada Tuhan. Ia bermaksud setiap rakyat yang mengaku
dirinya sebagai warganegara Malaysia mesti tanpa terkecuali mempunyai
pegangan agama iaitu mempercayai kewujudan Tuhan. Dalam erti kata lain
negara Malaysia tidak menerima golongan atheist seperti penganas komunis
yang menolak Tuhan dan agama.
6. Ideologi Komunisme telah terbukti
dalam sejarah yang menyebabkan kematian dan penderitaan kepada jutaan
manusia. Buktinya di Rusia ketika era diktator Joseph Stalin telah
membunuh rakyatnya sendiri sehingga 20 juta orang, dan kata-katanya
masih menjadi igauan sampai sekarang; “Death is the solution to all problems, no man – no problem”.
Manakala ‘Killing Field’ berlaku
di zaman paling hitam sejarah Kemboja apabila regim komunis Khmer Rouge
di bawah Pol Pot menyeksa dan membunuh sehingga dua juta rakyatnya
sendiri dari tahun 1975 hingga 1979.
7. Hari ini kita mengharapkan apa yang
berlaku di Rusia dan Kemboja tidak berulang di mana-mana negara dalam
dunia ini, malangnya mutakhir ini terbongkar cerita bagaimana kerajaan
Republik Rakyat China masih berdolak dalih menafikan penindasan yang
sedang dan telah mereka lakukan di zaman 5G ini terhadap rakyatnya
berbangsa Uyghur di Xinjiang dengan menempatkan mereka di ghetto
sebagaimana pernah berlaku di zaman kekejaman Nazi Hitler.
8. Apakah keadaan seperti itu mahu
dilakukan di negara kita ini? Ini tidak mustahil terjadi kerana kini
sudah ada suara-suara dari pengkhianat bangsa ‘Melayu Barua’ yang
mencadangkan supaya menghapuskan institusi Raja-Raja Melayu iaitu sistem
Raja Berperlembagaan digantikan dengan Negara Republik.
9. MUAFAKAT berasa amat kecewa apabila
sehingga ke hari ini kerajaan PH masih belum bertindak secara tegas
terhadap himpunan alumni komunis di Kajang. Laporan media melaporkan
yang ada hanyalah siasatan, dan masih belum ada lagi sebarang tangkapan
walaupun sepatutnya penganjur majlis itu ditahan kerana telah melanggar
Rukun Negara yang pertama, iaitu menghimpun mereka yang berpegang kepada
ideologi penganas komunis yang menolak kewujudan Tuhan.
10. Pengakuan beragama oleh pejuang
komunis hanyalah helah untuk mereka melepaskan diri daripada ditangkap
dan dikenakan hukuman.
Dan jika itu dijadikan sebagai alasan
oleh penganas komunis tersebut maka mereka masih juga melanggar Rukun
Negara iaitu pada prinsip kedua: “Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara”.
11. Dengan menjunjung titah perintah
Tuanku Sultan Selangor, MUAFAKAT mendesak kerajaan khususnya kerajaan
negeri di bawah pemerintahan kuasa Tuanku Sultan supaya mendedahkan
hasil siasatan yang dilakukan terhadap penganjuran perhimpunan alumni
anggota pengganas komunis di Kajang tempoh hari.
Ia harus disampaikan kepada Tuanku Sultan
dan didedahkan kepada rakyat Selangor supaya di masa akan datang
peristiwa yang sama tidak berulang dan MUAFAKAT tidak mahu perjumpaan
anggota pengganas komunis ini menjadi acara tahunan mereka.
No comments:
Post a Comment