‘SARJAN’ askar ditahan selepas kereta dipandunya terbabas ketika melarikan diri daripada polis dalam kejadian di Kampung Alor Lintah, Jerteh semalam.
Bagaimanapun, lelaki berusia 24 tahun yang lengkap berpakaian askar itu tidak mengalami kecederaan manakala kereta dipandunya rosak di bahagian hadapan selepas terbabas ke dalam longkang dalam kejadian pada 10.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, sebelum itu pemilik Perodua Kancil berkenaan yang juga seorang wanita berusia 58 tahun mendakwa didatangi suspek ketika berada di rumahnya di Kampung Kayu Kelat, Kuala Besut pada 7.30 pagi.
Menurutnya, lelaki berkenaan yang dikenali wanita berkenaan sebagai ‘Badrul’ memberitahu hajatnya untuk meminjam kereta terbabit dengan alasan untuk pulang ke rumahnya di Kampung Tok Saboh Alor Peroi, Kuala Besut.
Katanya, tanpa berfikir panjang wanita berkenaan memberi kenderaan berkenaan kepada suspek.
"Selepas tiga jam suspek tidak memulangkan semula kenderaan itu, wanita terbabit pergi ke rumah lelaki itu untuk mengambil kenderaannya,” katanya.
Bagaimanapun, Abdul Rozak berkata, wanita terbabit tidak dapat mengambil keretanya semula dan terpaksa melarikan diri selepas suspek mengacukan sebilah parang ke arahnya.
Menurutnya, mangsa yang bimbang keselamatannya kemudian membuat laporan polis.
“Susulan laporan itu, sebuah kereta peronda ke lokasi kejadian dan suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak memecut kenderaan itu ke arah bandar Jerteh sebelum berjaya menahannya selepas keretanya dipandunya terbabas.
Abdul Rozak berkata, ketika ditahan lelaki terbabit mendakwa pakaian seragam askar yang dipakainya itu adalah milik abangnya.
"Pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui dua bilah parang dan suspek ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.
No comments:
Post a Comment