Tuesday, February 18, 2020

Alasan jual hotel TH meragukan -Shahir

Wartawan MalaysiaGazette
MGF25082019_IKATAN_01
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa Lembaga Tabung Haji dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusoff memberi penjelasan daripada sudut fakta ekonomi berhubung penutupan empat hotel milik badan tersebut.

Ketuanya, Shahrir Adnan berkata, alasan yang diberikan oleh pihak pengurusan TH Hotel & Residence Sdn. Bhd. yang mengatakan keputusan tersebut adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan adalah ‘sangat kabur dan meragukan’.

“Persoalannya sekarang, adakah kewangan Tabung Haji begitu teruk hingga masih mencairkan aset-aset mereka ala jualan penghabisan stok?”

“DPIM menzahirkan rasa sedih kepada pekerja-pekerja yang terlibat, di mana mereka bakal ditamatkan perkhidmatan melalui skim penamatan perkhidmatan dan akan menganggur.

“Sejak Pakatan Harapan memerintah negara, janji mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan adalah umpama tikus membaiki labu.

“Janji ini tidak akan dan tidak mampu dilaksanakan jika setiap bulan rakyat hilang pekerjaan. Secara logiknya, peluang pekerjaan tidak akan diwujudkan jika aset-aset terus dijual,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shahrir, DPIM juga menggesa pihak Kementerian Kewangan menjelaskan rasional di sebalik penstrukturan semula aset-aset Tabung Haji sedangkan hutang negara terus meningkat daripada RM686 bilion kepada hampir RM1 trilion.

“Kementerian Kewangan juga harus memberitahu rakyat berapakah nilai transaksi pengambilalihan tersebut dan pelan seterusnya,” ujarnya.

Semalam, dalam satu notis bertarikh 17 Februari yang ditandatangani oleh Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Hotel & Residence, Zulkefli Ahmad memaklumkan mengenai penutupan operasi hotel yang terletak di Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Pulau Pinang dan Alor Setar berkuatkuasa 1 April ini.

Ia adalah disebabkan pengambilan alih hartanah tersebut oleh Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan dan sebahagian daripada pelan pemulihan dan penstrukturan Tabung Haji.

Penutupan keempat-empat hotel tersebut juga menyebabkan para pekerja akan diberhentikan menerusi Skim Penamatan Pekerja (SSS).- MalaysiaGazette

No comments: