Mangsa diumpan kononnya boleh gandakan wang sedia ada

KUANTAN
– Teruja untuk mendapat wang secara mudah, seorang wanita warga emas
kehilangan semua wang simpanannya berjumlah RM280,000 akibat ditipu tiga
suspek yang baharu dikenalinya, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial
Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 73
mendakwa semua wang itu diserahkan kepada tiga suspek termasuk seorang
wanita yang memberitahu boleh menggandakan jumlah wang itu.
Mangsa mendakwa penyerahan wang berlaku
di tempat letak kereta sebuah pusat membeli-belah di sini yang mana
seorang suspek lelaki telah membawa beg berisi wang itu ke dalam kedai
atas alasan mahu mengira jumlahnya.
“Mangsa menunggu di tempat letak kereta
bersama seorang lagi suspek lelaki, sebelum suspek itu meninggalkan
mangsa berseorangan tanpa memaklumkan sebarang perkembangan dan terus
gagal dikesan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa
mempercayai ketiga-tiga suspek yang dikenalinya beberapa jam sebelum
kejadian di sebuah pasar basah, kerana suspek wanita telah mengumpannya
dengan pemberian wang sagu hati kononnya daripada syarikat stesen
minyak.
Mangsa mendakwa diberikan kad mata
ganjaran dan dibawa ke stesen minyak di Beserah di sini, untuk mengambil
wang tunai RM200 sebelum suspek menawarkan ‘perkhidmatan’ untuk
menggandakan wang mangsa.
Suspek mendakwa wang yang akan diberikan adalah wang sebuah pertubuhan yang mahu mengelak daripada pembayaran cukai.
Mangsa membuat laporan polis di Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan
dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman penjara 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit
kesalahan.
Pada kes berasingan, seorang pesara, 71,
mendakwa kerugian RM5,200 selepas memindahkan wang itu ke dalam akaun
yang kononnya diberikan oleh ‘pegawai polis’ bagi siasatan kes
pengedaran dadah yang membabitkan namanya di Mahkamah Kota Kinabalu,
Sabah.
Mangsa mendakwa ‘pegawai polis’ itu
menghubunginya pada petang semalam, memaklumkan akaun banknya akan
dibekukan selama 45 hari bagi tujuan siasatan kes menyebabkan dia perlu
memindahkan wang ke dalam akaun baharu. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan