PH akan pastikan tiada masyarakat terbiar, miskin, dan hidup susah
MUAR– Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyasarkan seawal 10 tahun bagi
memperbaiki kepincangan yang berlaku dalam negara terutama dari segi
penguasaan ekonomi dalam kalangan masyarakat.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan adanya inisiatif
“Kemakmuran Bersama”, yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini, tidak
akan ada satu kelompok dalam masyarakat pun, tidak kira datang dari mana
pun, akan tertinggal, terbiar, tidak mencapai kemajuan, miskin, hidup
papa dan susah.
“Maka sebab itulah, dengan adanya
pandangan baru (Kemakmuran Bersama) yang telah dikemukakan, kerajaan
kita harap dalam tempoh 10 tahun, seawal-awalnya 10 tahun, kepincangan
yang berlaku dalam masyarakat dan negara kita, terutama dari segi
penguasaan ekonomi akan dapat kita perbaiki,” kata beliau pada Program
Penerapan Nilai-Nilai Murni pada Bulan Ramadan di luar Masjid Jamek
Nurul Yakin, Gugusan Felda Maokil, dekat sini, hari ini.
Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri
berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad itu memperlihatkan bahawa kerajaan memahami akan
tanggungjawab dalam memastikan tahap penguasaan ekonomi dalam negara
dapat dilakukan menerusi pertandingan yang sihat.
“Supaya nanti tidak adalah kelompok yang
maju dan dapat menguasai satu bidang yang jauh ke hadapan dan ada satu
kelompok, kumpulan dalam masyarakat yang terpaksa tinggal jauh di
belakang,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.
Justeru itu, beliau mengingatkan rakyat
agar sedar dengan tugas dan tanggungjawab yang masih besar terutamanya
masyarakat Islam supaya meningkatkan semangat bekerja serta mengambil
peranan dan tanggungjawab terutama sempena bulan Ramadan yang mulia ini,
agar tidak ketinggalan.
Muhyiddin, yang juga Ahli Dewan Undangan
negeri Gambir itu berkata, meskipun pelbagai kejayaan telah dicapai umat
Islam di negara ini, masih banyak lagi usaha dan kejayaan yang boleh
dicapai dalam pelbagai bidang.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar
Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam
Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.
Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan
surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan kepada sembilan
individu selain bantuan berbentuk barang keperluan dan duit raya kepada
kira-kira 100 asnaf terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan mereka
yang tidak berkemampuan. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan