Pemain naturalisasi negara akan berdepan nasib malang sekiranya menimbulkan masalah dan tidak berdisiplin, kata bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, B. Sathianathan.
Jurulatih berpengalaman luas membimbing pemain asing di peringkat kelab itu mengakui sikap besar kepala dan sukar dikawal antara masalah disiplin yang sering ditonjolkan segelintir pemain setelah mencapai sesuatu kejayaan.
Namun, beliau menegaskan sekiranya pemain naturalisasi negara memilih untuk bersikap sedemikian ia hanya akan membunuh masa depan dan karier mereka.
“Sebenarnya kalau mana-mana pemain (asing) ada masalah disiplin, mereka tidak akan bermain untuk skuad negara (menjadi pemain naturalisasi). Tetapi katakan kita naturalisasikan seorang berumur 17 tahun dan apabila mencecah 22 tahun dia buat masalah...maka tiada tempat untuk dia lagi.
“Bila tiada tempat dalam skuad kebangsaan mahupun kelab, mereka mungkin jual jam atau kain di kaki lima...jadi kalau mereka betul ingin menyarung jersi negara, mereka harus jaga disiplin,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sathianathan, yang juga Ketua jurulatih Selangor dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), merupakan salah seorang daripada ahli Jawatankuasa Program Naturalisasi kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pada masa sama, pengendali berusia 61 tahun itu berkata jawatankuasa program akan memastikan pemain yang ditawarkan peluang itu lulus proses tapisan yang ketat melibatkan segenap aspek termasuk faktor disiplin.
“Kita (jawatankuasa) mengambil serius soal pengambilan pemain. Kita akan menilai segenap aspek berkaitan pemain (calon) itu sedalam-dalamnya. Kita mahu pastikan pemain diberi kerakyatan itu mempunyai kesungguhan dan semangat yang sama seperti pemain tempatan,” katanya.
Untuk rekod, penyerang Pahang, Mohamadou Sumareh mencipta sejarah menjadi pemain naturalisasi pertama negara dan membantu skuad kebangsaan muncul naib juara Piala AFF 2018.
Sejak itu, FAM tidak menoleh ke belakang apabila menyatakan hasrat untuk membuka lebih kuota kepada pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan.
Namun, masalah disiplin yang dikaitkan dengan salah seorang daripada calon pemain naturalisasi negara seterusnya kini menjadi kebimbangan buat peminat tanah air sekiranya kehadiran pemain berkenaan mampu menggugat keharmonian skuad kebangsaan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan