Ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sempena sambutan ulang tahun pertama Pakatan Harapan (PH) mengandungi mesej halus yang ingin disampaikan terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata ucapan itu juga bertujuan mengingatkan supaya parti-parti dalam PH agar menyokong Mahathir.
"Perutusan 45 minit lebih kepada memberi mesej halus kepada parti dalam PH, supaya kekal muafakat dan sokong TM (Tun Mahathir).
"Checkmate buat DSAI (Anwar) dan amaran pada PKR dan sekutunya," katanya tanpa mengulas lebih lanjut di laman Twitternya.
Anggota Parlimen Ketereh juga mendakwa tiada apa yang signifikan dalam ucapan Mahathir.
"Seluruhnya tenggelam dalam pengakuan bahawa empat parti yang berlainan matlamat dan tujuan bergabung untuk menumpaskan BN dan Datuk Seri Najib, hapuskan kleptokrat.
"Kalau begitu kenapa persoal penggabungan Umno-PAS yang berbeza pendapat, kini bersatu tolak kakistokrat?"soalnya.
Terdahulu dalam ucapannya di Pusat Konvensyen Putrajaya hari ini Mahathir mengkritik kerjasama antara kedua-dua parti itu yang pernah menjadi seteru politik.
Beliau juga mempertikaikan sikap berdiam PAS mengenai skandal yang dikaitkan dengan kerajaan BN sebelum ini.
"Kerana itu, perjuangan yang kononnya untuk mempertahankan Melayu dan Islam tidak lain dari mempertahankan perompak-perompak negara yang berharap jika kerajaan ini jatuh maka kes-kes yang mereka hadapi akan gugur dan mereka tidak perlu bertanggungjawab dengan dosa dan kerosakan yang mereka telah lakukan.
"Pesanan saya, cukup-cukuplah menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik," kata Mahathir.
Dalam tweet awalnya, Annuar juga menyindir pemimpin PH apabila menuduh mereka mencipta pelbagai naratif untuk menunjukkan kejayaan gabungan itu.
"Wah, semua terpaksa mereka-reka naratif masing masing nak tunjuk kononnya berjaya macam-macam.
"Dan sambut setahun kegagalan dengan merayakan sesama sendiri di dewan aircond dan berbaju kot. Yang dok menilai petani, pesawah, penoreh, pekerja dan rakyat yang sedang berhempas pulas dengan kehidupan," katanya.
Menjawab tulisan pengguna Twitter lain yang menyatakan pilihan raya umum 9 Mei 2018
menyaksikan Tsunami rakyat Malaysia, Annuar berkata: "Itu bukan tsunami rakyat Malaysia. Itu adalah tsunami janji palsu."
"Sekarang, rakyat (bersedia) melancarkan tsunami balas terhadap PH," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan