Jumaat, 10 Mei 2019

PSM: Shafee hina pekerja estet, perlu minta maaf

MALAYSIAKINI

   

Kenyataan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang menyebut "orang estet" hari ini menimbulkan kemarahan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang sekian lama memperjuangkan golongan itu.

"Ia biadab, meremehkan dan menghina," kata Anggota Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan.

Shafee yang menjadi peguam bekas perdana menteri Najib Razak itu menegur media yang membuat liputan perbicaraan anak guamnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Kecewa dengan laporan yang mendakwa Najib mengambil swafoto ketika di kandang tertuduh, Shafee berkata: "Jika mereka mahu berperanan sebagai kuasa keempat (fourth estate) atau kelima, mereka tidak seharusnya berperangai seperti orang estet."

Menurut Aruchelvan, tidak hairan jika kenyataan seumpama itu keluar dari seorang yang kaya.

"Ini cara fikir tipikal orang seperti itu. Pekerja estet ialah tulang belakang ekonomi negara ini, kudrat dan kerja keras mereka membantu membangunkan negara ini," katanya kepada Malaysiakini.

Kata Arulchelvan lagi, jika Shafee mahu media bersikap profesional, beliau juga perlu menunjukkan sikap yang sama.

"Sebagai orang terpelajar, dia juga perlu menunjukkan profesionalisme dan bukannya melontarkan penghinaan dan kenyataan tak berasas terhadap golongan tertentu ketika berhujah.

"Apa mesej yang cuba disampaikannya? Pekerja estet bodoh dan malas?" katanya lagi.

Beliau berkata Shafee perlu memohon maaf di atas kenyataan yang menghina pekerja estet itu.


Terdahulu, Shafee memberitahu mahkamah bahawa Najib bukannya memegang telefon untuk mengambil gambar, tetapi menggunakan mod swafoto kamera sebagai cermin.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy juga menggesa Shafee memohon maaf atas kenyataan itu.

"Adakah dia mendakwa 'orang estet' kurang adab, etika dan moral? Atau mereka pembohong?" soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Waythamoorthy juga membangkitkan pengorbanan golongan itu dalam pembangunan negara.

"Kenyataan peguam yang bijaksana secara tidak adil memberikan persepsi negatif terhadap komuniti ini. Saya dengan tegas menggesanya memohon maaf kepada mereka," katanya lagi.


Tiada ulasan: