Sabtu, 11 Mei 2019

Suspek liwat pelajar tahfiz direman

Dziyaul Afnan Abdul Rahman
 
 

WARDEN asrama yang disyaki meliwat dua pelajar tahfiz dan mencabul tiga pelajar lainnya di Simpang Empat direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 17 Mei bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 28 tahun itu dikeluarkan Majistret Norhayati Ibrahim di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini.

Suspek tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar dengan menaiki van polis dan berpakaian lokap berwarna ungu serta kelihatan sugul ketika memasuki kamar majistret.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci ke atas suspek berhubung kejadian liwat dan cabul yang dilakukannya.

“Sebarang maklumat terbaru berkaitan kejadian liwat ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Polis baru sahaja mendapatkan perintah penahanan reman ke atas suspek, jadi berikan pihak polis ruang untuk melakukan soal siasat ke atas suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noor Mushar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 377C, 377E, 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Harian Metro Khamis lalu melaporkan, polis memburu warden pusat tahfiz yang disyaki meliwat dan mencabul lima pelajar lelaki pusat itu sejak April lalu.

Berdasarkan laporan awal yang dibuat oleh guru di pusat tahfiz berkenaan, suspek dipercayai meliwat dua pelajar berusia sembilan dan 15 tahun selain mencabul tiga pelajar lain berusia antara sembilan ke 12 tahun.

Bagaimanapun, suspek melarikan diri ke Perak sejurus laporan berkenaan dibuat dan polis menahannya di pusat tahfiz di Kuala Kangsar tengah malam tadi.

Berita berkaitan
Warden liwat, cabul pelajar ditahan
Warden liwat, cabul pelajar lari ke Perak
Warden asrama didakwa liwat, cabul pelajar

Tiada ulasan: