NOTIS yang diedarkan kepada peniaga supaya menghentikan sementara operasi perniagaan bermula 8.30 malam hingga 10 malam sepanjang Ramadan ini hanya berbentuk nasihat dan bukan arahan.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, peniaga diminta merujuk notis baharu yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kita sebenarnya meminta orang menghormati waktu solat. Kalau mereka tidak dapat (ikut), kita beri peluang, tahun depan kita perbaikkan lagi.
"Notis diubah secara nasihat, tidak berbentuk arahan sehingga dikenakan denda. Rujuk surat (notis) terbaharu yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Madinah Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, malam tadi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas surat arahan yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kepada PBT supaya semua pengusaha kedai makan dan restoran di negeri ini menghentikan sementara operasi dari 8.30 hingga 10 malam sepanjang Ramadan, berkuat kuasa serta-merta, baru-baru ini.
Difahamkan masih terdapat dalam kalangan peniaga yang keliru dengan notis terbabit.
Sementara itu, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf mengesahkan sudah mengedarkan notis meminta kerjasama peniaga menghentikan sementara peniagaan bermula semalam.
"Notis berkenaan bukan berbentuk arahan atau paksaan itu sebaliknya meminta kerjasama peniaga kedai makan.
“Setakat ini kami sudah edarkan sebanyak mungkin khususnya kedai makanan yang berdekatan dengan kawasan masjid,” katanya.
Berita berkaitan:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan