ESMA WEB
Kerajaan tak boleh guna kuasa beri kekayaan kepada penyokong
PUTRAJAYA– Pemimpin dan anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu
akur bahawa tiada jaminan untuk mereka mengisi jawatan tertinggi dalam
institusi kerajaan serta mendapat nikmat dan ganjaran setelah menjadi
kerajaan, kata Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana
Menteri berkata, walaupun mungkin ada antara mereka yang berputih mata
atau kecewa, namun itulah pengorbanan yang mereka perlu lakukan walaupun
telah berhempas pulas membawa kemenangan kepada Bersatu dan Pakatan
Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
“Ini adalah sesuatu yang menyedihkan kita, tetapi ingatlah ini janji kita.
“Kerajaan
tak boleh guna kuasa untuk beri kekayaan atau tempat tertentu kepada
penyokong atau pemimpin mereka,” katanya ketika berucap pada majlis
berbuka puasa Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC),
di sini hari ini.
Turut
hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Presiden
Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta ketua sayap Srikandi dan Armada,
Datuk Seri Rina Mohd Harun; dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dr
Mahathir berkata, walaupun mereka tidak mendapat sesuatu daripada parti
namun sebagai rakyat, mereka akan mendapat nikmat daripada negara yang
ditadbir dengan baik hasil pengorbanan yang mereka berikan untuk memberi
kejayaan kepada parti.
“Percayalah
kita akan dapat sesuatu sama ada kita akan dapat peluang pekerjaan,
peluang perniagaan, anak dapat biasiswa belajar keluar negara dan
keadaan dalam negara sempuna dibekal dengan elektrik dan air yang
mencukupi, dengan jalan yang baik, keretapi laju dan sebagainya,”
katanya.
Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Bersatu akan terus mendapat sokongan daripada rakyat jika kekal bersih dari segala larangan.
“Untuk
meyakinkan rakyat bahawa parti berpegang kepada janji, kita terpaksa
berkorban apa sahaja kerana tiada tempat bagi kita dalam kerajaan yang
kita wujudkan melalui tindakan dan kerja kuat kita,” katanya.
Menempelak
parti yang dikalahkan pada PRU14 lepas, Dr Mahathir berkata, apabila
mendapat kuasa, mereka menyalahgunakannya tanpa had termasuk mencuri
harta kerajaan dan rakyat.
“Tetapi
mereka percaya kalau mereka guna wang itu untuk tawan hati rakyat maka
mereka akan tetap kekal sebagai kerajaan bagi negara kita,” katanya.
Dr
Mahathir berkata, Bersatu adalah sebuah parti yang berkorban untuk
bangsa dan negara, maka anggotanya akan menahan diri daripada membuat
perkara yang akan memburukkan imej negara.
Beliau berkata, hasil pengorbanan parti itu adalah menebus kembali negara yang sebelum ini digelar sebagai negara kleptokrasi.
“Hasil
yang diterima kerana kita berjuang dalam parti yang miskin dan tidak
dapat hulur wang, tetapi masih mencapai kemenangan cemerlang pada
Pilihanraya Umum ke-14 lepas,” katanya.
Dalam pada
itu, Dr Mahathir berkata kemenangan cemerlang PH di Sandakan adalah
hasil sokongan padu parti di Sabah termasuk Parti Warisan Sabah
(Warisan) walaupun tidak ramai yang keluar mengundi.
Beliau
berkata, kemenangan itu adalah kerana rakyat sedar PH adalah parti yang
baik dengan pemimpinnya sanggup berkorban tanpa mengharap sesuatu.
“Rakyat
lebih utamakan dan pandang tinggi kepada parti yang dianggotai pemimpin
yang sanggup berkorban untuk bangsa, agama dan tanah air,” katanya. –
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan