ISMA WEB
Pegawai polis beri keterangan dalam kes saman sivil RM100 juta
SHAH ALAM– Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, penganalisis politik
Abdul Razak Abdullah Baginda ada memberikan sampel tulisan tangannya
kepada pegawai polis pada 14 dan 15 November 2006.
ASP Ahmad
Abu Bakar, 47, yang memberi keterangan pada perbicaraan kes saman sivil
difailkan keluarga model Mongolia yang mati dibunuh pada 2006, Altantuya
Shaariibuu, berkata beliau adalah individu yang bertanggungjawab
mengambil sampel tulisan tangan Abdul Razak selama dua hari
berturut-turut pada tarikh itu.
Ahmad yang
kini bertugas di Bahagian Kajian Kes, Jabatan Integriti Dan Pematuhan
Standard Bukit Aman berkata, beliau diarahkan oleh Timbalan Pegawai
Turusnya ketika itu, DSP Gan Tack Guan pada 14 November 2006 jam 3
petang sebelum berjumpa dengan seorang pegawai lain, DSP Zainuddin untuk
memberitahu tujuannya mendapatkan sampel tulisan tangan itu.
Kata Ahmad, sampel tulisan tangan berkenaan diambil daripada Abdul Razak di bilik soal siasat dalam bilik tahanan di Bukit Aman.
Ketika
ditanya peguam keluarga Altantuya, Harshaan Zamani, apa yang berlaku
selepas menerima arahan itu, Ahmad berkata, beliau berjumpa DSP
Zainuddin dan diserahkan sehelai salinan faks bertulisan tangan yang
dirampas oleh ASP Zulkarnain.
Harshaan Zamani: Apa yang berlaku selepas kamu ditunjukkan salinan faks itu?
Ahmad:
Selepas itu, ASP Zulkarnain menulis semula sebahagian salinan faks
berkenaan yang ada tertulis nama ‘Abdullah’, alamat rumah, Hotel Malaya
Jalan Hang Lekir dan nama ‘Amina’.
Selepas dapat tulisan itu, saya jumpa Abdul Razak pada hari sama di bilik soal siasat untuk ambil tulisannya.
Harshaan Zamani: Bagaimana kamu arahkan Abdul Razak semasa mengambil sampel tulisannya? Adakah sehelai salinan atau beberapa?
Ahmad:
Saya berjumpa Abdul Razak dan memberitahu tujuan saya. Beliau bersetuju.
Saya bacakan perkataan yang ditulis oleh DSP Zainuddin dan Abdul Razak
menulisnya di atas kertas bersaiz A4. Ada lima salinan atas dan bawah.
Harshaan Zamani: Kamu ambil sepuluh salinan?
Ahmad: Ya
betul. Selain tu saya minta Abdul Razak tandatangan setiap helai kertas
itu di depan saya dan saya juga tandatangan setiap helai kertas
berkenaan.
Saksi
kesepuluh plaintif itu memberi keterangan pada perbicaraan saman RM100
juta yang difailkan bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev Shaariibuu,
isterinya Altantsetseg Sanjaa dan dua cucu lelaki mereka – Mungunshagai
Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga pada 4 Jun, 2007.
Mereka
menamakan Azilah dan seorang lagi bekas anggota polis Sirul Azhar Umar,
Abdul Razak serta kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan.
Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga digugurkan daripada senarai plaintif berikutan kematiannya dua tahun lepas.
Ahmad
berkata beliau kemudian menyerahkan sampel tulisan tangan Abdul Razak
kepada pegawai penyiasat kes pembunuhan Altantuya, ASP Tony Lunggan pada
17 Nov 2006.
Terdahulu,
prosiding perbicaraan itu turut mendengar permohonan peguam plaintif,
Sangeet Kaur Deo untuk mendapatkan dokumen berkaitan dengan kes
perbicaraan pembunuhan Altantuya sebelum ini daripada pihak Peguam
Negara dan Ketua Bahagian Pendakwaan.
Pihak
Plaintif antara lain menuntut sesalinan semua pernyataan yang diambil
oleh polis dalam siasatan kes itu termasuk pihak yang tidak menjadi
Saksi Pendakwaan; sesalinan asal kesemua eksibit yang dikemukakan oleh
pihak pendakwaan; butir nombor kad pengenalan, termasuk nama serta
alamat pihak disiasat sama ada dipanggil sebagai saksi pendakwaan atau
sebaliknya dan atau yang ditawarkan kepada pihak pembelaan.
Selain
itu, plaintif turut memohon sesalinan kesemua pernyataan, sama ada dalam
bentuk bertulis atau rakaman yang diambil oleh polis dalam proses
siasatan dan pendakwaan Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga.
Perbicaraan
di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersambung esok dan
beliau menetapkan permohonan itu diputuskan pada Khamis. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan