Mutu beras wangi tempatan setanding import dari Thailand, Vietnam
PASIR PUTEH– Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan meminta Lembaga
Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda
(MADA) untuk memulakan langkah penanaman padi wangi tempatan yang
bermutu tinggi tidak lama lagi.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub
berkata, ‘varieti’ MRQ76 yang telah ditanam secara ujian di Kampung
Bendang Kolam, Tembusu, Selising di sini telah membuktikan ia setanding
dengan mutu beras dari Thailand dan Vietnam.
“Tanaman peringkat ujian ini telah
menunjukkan kejayaan dan hasil kajian membuktikan beras ini bermutu
tinggi dan setanding dengan beras import.
“Saya akan mencadangkan agar KADA dan
MADA untuk menanam padi ini dalam keluasan yang lebih luas agar beras
ini dapat dihasilkan di peringkat tempatan,” katanya kepada pemberita
selepas Majlis Dialog dan Perasmian Tuaian Padi di sini, petang ini.
Turut hadir Pengerusi KADA, Senator Datuk Husam Musa dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Padi Wangi Kelantan, Zailan Awang.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata,
untuk menggalakkan petani menanam padi wangi ini, kementeriannya akan
memberikan subsidi yang sama dinikmati oleh pesawah yang lain.
“Penanam padi wangi ini akan menikmati
subsidi yang sama dan ini kali pertama kita perkenalkan kerana sebelum
ini penanam padi wangi tidak menerimanya,” katanya.
Salahuddin berkata, harga beras wangi ini
mampu meningkatkan pendapatan petani kerana harga bagi setiap lima
kilogram harganya pada kadar RM40 berbanding beras biasa RM15.
Sementara itu, Salahuddin menyambut baik
jika ada syarikat yang berminat untuk mengambil alih pengurusan Syarikat
Nasional Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) bagi kepentingan keperluan
daging negara.
“Jika syarikat ini dapat penuhi syarat
dan akan menggalakkan mereka untuk membuka ladang baharu bagi mencapai
objektif menghasilkan kira-kira lebih 30 peratus daging untuk negara,”
katanya.
NFC memaklumkan bersedia dan bersetuju
untuk membayar balik baki pinjaman sepenuhnya serta sedang menunggu
persetujuan daripada pihak kerajaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad
Salleh Ismail berkata, ini kerana sejak 25 Oktober 2018, NFC sudah
mempunyai pembeli baharu yang sedia dan bersetuju bagi membayar balik
pinjaman penuh dalam masa tiga bulan daripada persetujuan pihak kerajaan
untuk penstrukturan semula syarikat. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan